Skip to main content

UMPSA bakal terokai kerjasama dengan Chongqing University (CQU) dalam bidang Kejuruteraan Awam dan Teknologi Pembinaan

CHONGQING, CHINA, 6 Januari 2025 - Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) bakal terokai kerjasama dengan Chongqing University sebuah universiti berprestij di China yang menawarkan program dalam bidang Kejuruteraan dan Teknologi terutamanya dalam Kejuruteraan Awam, Teknologi Pembinaan dan Alam Sekitar. 

Menurut Naib Canselor UMPSA, Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias, kunjungan ini memberi peluang kedua-dua pihak membincangkan potensi kerjasama akademik antarabangsa khususnya bagi penawaran program Ijazah Dual di peringkat pascasiswazah dalam bidang Kejuruteraan Awam.

“Hubungan kerjasama antarabangsa ini bakal merealisasikan agenda pengantarabangsaan seiring dengan Pelan Strategik UMPSA 2026-2030 dan institusi strategik sebagai hab TVET Termaju di rantau ini.

“Potensi kerjasama bersama institusi di China adalah bagi amelihat kepada kepakaran yang ada di negara ini, terutamanya dalam melahirkan bakat yang diperlukan seiring dengan keperluan industri.

“Selain membuka ruang yang luas bagi meningkatkan bilangan pelajar di peringkat pascasiswazah dalam pelbagai bidang di UMPSA, kerjasama ini juga bakal membuka lebih banyak peluang berpotensi dalam penyelidikan bersama, geran padanan antarabangsa.

“UMPSA akan terus menyokong dan memainkan peranannya memperkukuh bidang Kejuruteraan Awam negara selari dengan keperluan semasa dan masa depan berkaitan daya tahan infrastruktur, migitasi bencana serta inovasi teknologi pembinaan,” katanya yang mengetuai delegasi sempena kunjungan ke China hari ini.

Hadir sama Dekan Fakulti Teknologi Kejuruteraan Awam (FTKA), Dr. Noram Irwan Ramli dan Pengurus FTKA, Shahrizai Haji Sarif.

UMPSA bakal terokai kerjasama dengan Chongqing University

Delegasi UMPSA disambut oleh pengurusan Chongqing University, China yang diketuai oleh Profesor Dr. Guiven Liu, Naib Presiden Chongqing University, Profesor Dr. Qingshan Yang, Dekan Fakulti Kejuruteraan Awam, Profesor Dr. Yuhang Wang dan Timbalan Dekan Fakulti Kejuruteraan Awam, Profesor Dr. Bo yang.

Chongqing University merupakan universiti terkemuka dunia dengan tersenarai di kedudukan keempat  dunia dalam bidang Kejuruteraan Awam dan Mekanikal oleh US News & World Report 2025. 

Malahan kerjasama UMPSA dan CQU ini telah terjalin sejak lima tahun lalu melalui penganjuran bersama World Sustainable Construction Conference (WSCC) oleh FTKA UMPSA.

Disediakan Oleh:  Shahrizai Haji Sarif, Fakulti Teknologi Kejuruteraan Awam dan Mohd Ferdaus Musa, Pejabat Naib Canselor.

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri