Skip to main content

UMPSA dan NXU sambut sedekad jalinan sinergi strategik

KUALA LUMPUR, 3 Jun 2025 - Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dan Ningxia University (NXU), China, meraikan satu dekad kerjasama akademik yang bermakna menerusi Majlis Makan Malam Sinergi Strategik UMPSA-NXU ke-10 yang berlangsung di Irama Dining, Kuala Lumpur.

Majlis itu diserikan dengan kehadiran Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Dato’ Ir. Ts. Dr. Ahmad Ziad Sulaiman yang hadir mewakili Naib Canselor, Profesor Dr. Yatimah Alias. 

Dalam ucapan beliau berkata, hubungan UMPSA-NXU merupakan simbol kepercayaan, penghormatan dan komitmen bersama dalam mengangkat kecemerlangan akademik pada peringkat global.

“Kerjasama yang terjalin sejak 2013 hasil lawatan strategik Naib Canselor UMPSA ke NXU telah membawa kepada pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) pada 5 Ogos 2014 dan sejak itu, perjalanan kita bersama dipenuhi dengan pelbagai pencapaian bermakna. 

“Antara pencapaian utama hasil kerjasama dua hala ini termasuklah mobiliti pelajar merentas sempadan dengan 159 pelajar NXU mengikuti program di UMPSA dan 113 pelajar UMPSA menjalani program mobiliti ke Sekolah Kejuruteraan Mekanikal NXU. 

“Selain itu juga, terdapat pertukaran tenaga pengajar dengan tiga pensyarah NXU ke UMPSA dan tujuh pensyarah UMPSA ke NXU,” ujarnya. 

UMPSA dan NXU sambut sedekad jalinan sinergi strategik

Tambahnya, kerjasama penyelidikan turut berkembang pesat dengan terhasilnya 104 penerbitan bersama, persidangan serta projek berteraskan inovasi. 

Salah satu pencapaian yang paling membanggakan adalah pelaksanaan Program Ijazah Dual melalui Sino-Foreign Cooperation Programme dalam program Bachelor of Manufacturing Engineering Technology (Advanced Manufacturing) with Honours.

Majlis itu turut dihadiri tokoh penting daripada kedua-dua institusi termasuk Setiausaha Parti NXU, Profesor Dr. Li Xing, serta barisan pengurusan kanan dari NXU dan UMPSA.

Dalam pada itu, Profesor Dr. Yatimah Alias amat menghargai sokongan berterusan daripada Kementerian Pendidikan Tinggi  Malaysia dan China yang telah memainkan peranan penting dalam memudahkan kolaborasi ini. 

Beliau turut menzahirkan harapan agar kerjasama ini terus diperkukuh dan lebih banyak peluang kerjasama pada tahun-tahun mendatang demi manfaat para pelajar, institusi serta kedua-dua negara.

UMPSA dan NXU sambut sedekad jalinan sinergi strategik

Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat

Reports by:
Siti Nurfarmy binti Ibrahim