UMPSA memperluas jaringan kerjasama ke negara matahari terbit
TSU MIE, JEPUN, 27 Jun 2024 - Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) mengorak langkah baharu memperluas jaringan kerjasamanya ke negara matahari terbit dengan mengadakan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Mie University, Jepun baru-baru ini.
UMPSA diwakili oleh Dekan Fakulti Teknologi Kejuruteraan Pembuatan dan Mekatronik (FTKPM), Profesor Madya Ir. Ts. Dr. Faiz Mohd Turan dan Dekan Pusat Sains Matematik (PSM), Profesor Dr. Mohd Zuki Salleh.
Manakala Mie University pula diwakili oleh Presidennya, Profesor Dr. Ito Masaaki, Dekan Sekolah Siswazah Kejuruteraan, Profesor Dr. Kazuo Mori, Pengarah Pusat Pendidikan dan Penyelidikan Antarabangsa, Profesor Dr. Satoshi Kaneco, dan Naib Presiden Khas (Pendidikan), Profesor Dr. Masataka Kubo.
Menurut Profesor Madya Ir. Ts. Dr. Faiz Mohd Turan, jalinan kerjasama ini bertujuan untuk membincangkan mengenai kerjasama dalam bidang penyelidikan dan pertukaran pelajar serta pensyarah.
“Selain itu, turut dibincangkan mengenai kebolehlaksanaan program ijazah dual bersama Mie University.
“Melalui jalinan kerjasama ini diharap dapat memberi peluang kepada pelajar merasai pengalaman belajar di Jepun dan dapat meningkatkan kemahiran menguasai bahasa serta pemahaman akademik.
“Manakala pensyarah pula dapat meningkatkan kaedah pengajaran dan pembelajaran, terutama dalam bidang Kejuruteraan dan Teknologi,” ujarnya.
Jelas beliau lagi, kunjungan delegasi UMPSA ke Shibaura Institute of Technology (SIT), Tokyo, Jepun pula membincangkan mengenai perancangan bagi mengadakan program ijazah dual bersama SIT.
“Dalam perbincangan tersebut, SIT dihadiri oleh Timbalan Presiden, Profesor Dr. Hitoshi Nakamura, Timbalan Pengarah Pejabat Servis Antarabangsa, Yutaka Furuya, dan Pegawai Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Maejima Yuya.
“Perancangan program ijazah dual bersama SIT ini adalah salah satu daripada inisiatif kecemerlangan akademik UMPSA selepas kedua-dua universiti itu menandatangani MoU pada Januari 2024 yang lalu,” katanya.
Manakala Profesor Dr. Mohd Zuki Salleh pula berkata, delegasi UMPSA turut dibawa melawat makmal kejuruteraan, elektronik dan robotik serta melihat fasiliti dan teknologi yang digunakan di universiti tersebut.
“Saya percaya jalinan kerjasama dua buah negara ini akan memberikan impak positif kepada kedua-dua universiti bagi melahirkan graduan yang lebih berkualiti dan kompetitif serta dapat menarik pelajar antarabangsa untuk menyambung pengajian di Malaysia.
“Malah, saya juga yakin ia dapat meningkatkan kualiti pendidikan dan penyelidikan dalam bidang kejuruteraan melalui penggunaan teknologi terkini,” katanya.
Pada masa yang sama, delegasi turut berpeluang mengunjungi Kedutaan Besar Malaysia di Tokyo, Jepun.
Ketibaan delegasi disambut oleh Timbalan Ketua Misi, Anwar Udzir, Ketua Canseri, Nora Azlinda Jaapar, dan Kaunselor (Pendidikan), Imran Yussof.
Sepanjang sesi perjumpaan tersebut, delegasi dapat berkongsi harapan UMPSA dalam menjayakan jalinan kerjasama bersama SIT dan Mie University, Jepun.
Pihak kedutaan juga turut menyokong penuh hasrat UMPSA ini.
Disediakan Oleh: Nor Salwana Mohamad Idris, Pusat Komunikasi Korporat
- 228 views