UMPSA teroka kolaborasi strategik dengan LatConnect 60 dan ReOrbitBTS dalam penyelidikan Teknologi Satelit dan Aeroangkasa
DUBAI, 20 November 2025 - Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) memperkukuh kedudukannya sebagai institusi peneraju dalam teknologi angkasa negara melalui dua kerjasama penyelidikan strategik bersama LatConnect 60 Sdn. Bhd (LatConnect 60) dan ReOrbit BTS Sdn. Bhd. (ReOrbitBTS).
Kerjasama dengan LatConnect 60 melibatkan projek penyelidikan bertajuk ‘Hyper spectral Earth Observation Satellite for Pahang Aerospace City’ memberi tumpuan kepada pembangunan teknologi satelit berasaskan penderiaan jauh hiperspektral.
Usaha ini dijangka meningkatkan keupayaan analitik data bagi sektor pertanian, pengurusan bencana, perhutanan, keselamatan serta pemantauan perubahan iklim, selaras dengan aspirasi membangunkan Pahang Aerospace City sebagai hab aeroangkasa negara.
Selain itu, UMPSA turut menjalinkan kerjasama penyelidikan dengan ReOrbitBTS melalui ‘Sovereign Satellite Development Ecosystem In Malaysia’.
Projek ini akan memberi penekanan kepada pembangunan ekosistem satelit, termasuk reka bentuk sistem satelit, operasi misi, pembangunan kepakaran tempatan serta pembinaan rantaian nilai lengkap industri satelit.
Majlis menyaksikan Naib Canselor UMPSA, Profesor Dr. Yatimah Alias menandatangani surat niat (LoI) bersama Chief Commercial Officer, ReOrbit, Mohan Nerjoo manakala mewakili LC60, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasasnya, Venkat Pillay bersempena Dubai Airshow 2025 yang berlangsung di Dubai World Central (DWC).

Hadir menyaksikan acara, Pengerusi Lembaga Pengarah UMPSA, Dato Seri Abdul Razak Jaafar dan Ketua Pegawai Eksekutif, Pahang Aerospace City Development Berhad (PAC), Profesor Adjung Muhamad Nurazmi Abas.
Turut sama Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMPSA Profesor Dr. Aida Mustapha.

Menurut Profesor Dr. Yatimah, kedua-dua kerjasama ini merupakan langkah signifikan dalam memperkukuh keupayaan penyelidikan dan inovasi universiti dalam bidang teknologi angkasa.
“Kerjasama strategik ini akan memperluas kemampuan penyelidikan UMPSA dalam bidang Aeroangkasa dan seterusnya menyokong agenda nasional untuk membina keupayaan teknologi satelit tempatan.
“UMPSA komited untuk memainkan peranan utama dalam memacu pembangunan Pahang Aerospace City,” katanya.
Dengan pemeteraian kerjasama projek penyelidikan berimpak tinggi ini, UMPSA yakin dapat menyumbang secara langsung kepada pembangunan sektor aeroangkasa negara dan membuka peluang besar kepada pelajar, penyelidik dan rakan industri dalam bidang teknologi satelit.
Kolaborasi ini juga seiring dengan penubuhan Venture Studio UMPSA yang dikenali sebagai Versus pertama di Malaysia yang bakal menjadi pusat inovasi dan pengkomersialan untuk melahirkan syarikat pemula dalam bidang AI, sistem autonomous dan teknologi mobiliti.
Disediakan Oleh: Mimi Rabita Abd Wahit, Pusat Komunikasi Korporat
- 39 views
Reports by: