UMP jalin kerjasama dengan Vacuumschmelze (VAC) dalam pembangunan bakat dan teknologi
PEKAN, 8 November 2021- Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan Vacuumschmelze (VAC) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi kerjasama industri, penyelidikan, pembangunan akademik dan pembangunan modal insan melalui penawaran pembiayaan biasiswa dan latihan industri kepada pelajar program dual ijazah di universiti ini.
Ia juga bakal membuka peluang kedua-dua pihak meneroka kerjasama yang dapat memberi manfaat kepada hubungan dua hala universiti-industri terutamanya dalam menyediakan latihan dan perkongsian kepakaran dalam program kejuruteraan dan teknologi yang dapat meningkatkan kebolehpasaran graduan.
Majlis menandatangani MoU yang berlangsung secara hibrid itu menyaksikan Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainudin yang menjalankan fungsi Naib Canselor UMP dan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Ts. Dr. Mohd. Rosli Hainin menandatangani bagi pihak UMP.
Manakala pihak Vacuumschmelze (VAC) pula diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Vacummschmelze Germany, Dr. Erik Eschen dan Pengurus Besar, Vacummschmelze Malaysia Sdn. Bhd., Mohd Arif Zakaria.
Seiring dengan Perancangan Pelan Strategik UMP 2021-2025 (UMP25), Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie berkata, kolaborasi ini bertepatan dengan hasrat UMP yang sentiasa berusaha untuk melahirkan graduan yang kompeten bagi memenuhi kehendak industri.
“Kerjasama ini akan melibatkan perkongsian kepakaran teknikal, penyelidikan dan hubungan industri melibatkan pihak VAC dalam aspek kejuruteraan elektrik, mekatronik dan pembuatan serta teknologi,” katanya.
Dalam pada itu, menurut Dr. Erik, kolaborasi UMP dan VAC ini akan memperkukuhkan hubungan baik kedua-dua pihak dengan penawaran biasiswa untuk pelajar dual ijazah.
Pihaknya menghargai kerjasama erat ini dan mengucapkan tahniah atas pencapaian UMP yang bakal meraikan sambutan ulang tahun ke-20 UMP pada tahun hadapan.
Selain itu, seramai tiga orang pelajar terpilih mengikuti latihan industri di VAC Hanau, Jerman dan mereka ini berpeluang ditawarkan penempatan kerjaya di VAC di Pekan apabila menamatkan program kelak.
Disediakan oleh: Nor Salwana Mohd. Idris, Unit Komunikasi Korporat, Pejabat Naib Canselor (PNC)