UMP jalin kerjasama Inisiatif Strategik Pendidikan Tinggi (CHESS) dengan PETRONAS
KUALA LUMPUR, 3 Jun 2023 - Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) baru-baru ini bertukar dokumen Memorandum Persefahaman (MoU) bagi menjayakan program kerjasama Inisiatif Strategik Pendidikan Tinggi (CHESS) sebagai pemangkin perkongsian pengetahuan industri-akademik dalam bidang teknikal.
Kerjasama itu bakal menyumbang kepada usaha pembangunan modal insan Malaysia Madani bagi mempergiatkan pembelajaran, bimbingan dan pembangunan, penganjuran penyelidikan, penerbitan, pertukaran staf serta bidang teknikal yang berkaitan dengan industri tenaga.
Menurut Naib Canselor UMP, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin, melalui kerjasama ini, pihak PETRONAS akan berkongsi pengetahuan dan amalan terbaik industri melalui kuliah, ceramah, latihan dan bimbingan kepada pensyarah dan pelajar tahun akhir.
“UMP yang mempunyai kepakaran dalam kejuruteraan dan teknologi akan berkongsi kepakaran akademik dengan pihak PETRONAS.
“Selain itu, kerjasama ini juga melibatkan penawaran ijazah dual dan kerjasama komuniti,” katanya.
Ujarnya, usaha ini juga seiring dengan Pelan Strategik UMP 2021-2025 dalam menggalakkan semua penyelidik terlibat secara aktif dalam ekosistem penyelidikan dan pengkomersialan.
Beliau hadir bertukar dokumen dengan Naib Presiden Kanan Penyampaian Projek dan Teknologi PETRONAS, Dato' Bacho Pilong di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) sempena CHESS Symposium 2023 yang dirasmikan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof. Dr. Azlinda Azman.
Selain UMP, universiti lain yang terlibat dengan MoU ini adalah Universiti Multimedia, Asia Pacific University, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Selangor dan Universiti Tenaga Nasional (UNITEN).
Turut hadir dalam program, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa), Profesor Ir. Ts. Dr. Ahmad Ziad Sulaiman, Penolong Naib Canselor Kolaborasi Industri dan Masyarakat, Profesor Madya Dr. Nurul Hazlina Noordin dan Dekan Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses (FTKKP), Profesor Ts. Dr. Che Ku Mohammad Faisal Che Ku Yahya.
UMP turut mempamerkan dua produk komersial iaitu Electronic Nose (E-Nose) dan Fiber Bragg Grating Measurement System yang melibatkan penyelidikan Profesor Madya Dr. Muhammad Sharfi Najib, Pensyarah Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE) dan Profesor Madya Ir. Dr. Hafizi Zohari, Pensyarah Fakulti Teknologi Kejururuteraan Mekanikal dan Automotif (FTKMA).
Disediakan oleh: Mimi Rabita Haji Abdul Wahit, Bahagian Komunikasi Korporat Jabatan Canseleri
- 128 views