UMPSA dan AKTI meterai kerjasama strategik dalam akademik, penyelidikan dan TVET
KARAWANG, INDONESIA, 28 Julai 2026 – Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terus memperluas jaringan kerjasama antarabangsa apabila memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Akademi Komunitas Toyota Indonesia (AKTI) bagi memperkukuh kolaborasi dalam bidang akademik, penyelidikan dan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Kerjasama tersebut dizahirkan menerusi lawatan kerja rasmi delegasi UMPSA ke AKTI yang diketuai Naib Canselor UMPSA, Profesor Dr. Yatimah Alias bersama delegasi Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE).

Turut mengiringi ialah Ketua Jabatan Teknologi Elektrik dan Elektronik, Ts. Dr. Md Rizal Othman, Pengarah Pusat Kejuruteraan Automotif, Ir. Ts. Dr. Muhammad Ikram Mohd Rashid serta pensyarah dari FTKEE, Profesor Madya Ir. Dr. Muhamad Zahim Sujod.
Menurut Profesor Dr. Yatimah Alias, kerjasama strategik tersebut mencerminkan komitmen UMPSA dalam memperkukuh hubungan antarabangsa dengan institusi TVET yang mempunyai hubungan erat dengan industri, selaras dengan aspirasi universiti untuk melahirkan graduan berkemahiran tinggi dan memenuhi kehendak industri global.
“Kerjasama ini membuka ruang yang lebih luas kepada kedua-dua institusi untuk berkongsi kepakaran, melaksanakan penyelidikan gunaan serta memperluaskan program mobiliti pelajar dan staf.
“Pada masa yang sama, ia turut menyokong agenda pengantarabangsaan universiti dan pembangunan modal insan yang berdaya saing di peringkat serantau,” ujarnya.
Beliau turut menegaskan bahawa hubungan yang terjalin antara UMPSA dan AKTI bukan sahaja memberi manfaat kepada kedua-dua institusi, malah berpotensi menyumbang kepada pembangunan ekosistem TVET yang lebih dinamik dan responsif terhadap keperluan Revolusi Industri 4.0.

AKTI merupakan institusi pendidikan tinggi vokasional yang ditubuhkan oleh Yayasan Toyota Indonesia pada tahun 2015 bagi menyokong pembangunan modal insan berkemahiran tinggi dalam sektor pembuatan dan automotif.
Institusi itu mengamalkan pendekatan pendidikan berasaskan industri yang menggabungkan pembelajaran teori, latihan amali, pembangunan sahsiah dan pengalaman pembelajaran secara langsung dalam persekitaran industri.
Kerjasama antara kedua-dua institusi bermula pada 19 Disember 2024 apabila pensyarah AKTI, Yani Koerniawan, mengadakan lawatan ke FTKEE bagi meninjau kemudahan makmal, kepakaran akademik serta pendekatan pembelajaran berasaskan industri yang dilaksanakan di UMPSA.
Hubungan tersebut kemudiannya diperkukuh melalui lawatan rasmi delegasi AKTI ke UMPSA pada 12 Ogos 2025 yang diketuai Timbalan Pengarah AKTI, Praditya Alambara bersama Ketua Unit Pentadbiran, Rachmasari dan Encik Yani Koerniawan.
Lawatan itu membuka ruang kepada perbincangan yang lebih terperinci mengenai potensi kerjasama strategik antara kedua-dua institusi termasuk cadangan pemeteraian MoU.
Hasil perbincangan berterusan yang dijalankan, MoU antara UMPSA dan AKTI berjaya dimeterai pada 1 Julai 2026 sebagai landasan kepada pelaksanaan pelbagai program akademik, penyelidikan dan pembangunan TVET secara lebih tersusun.
Melalui MoU tersebut, kedua-dua pihak akan bekerjasama dalam pelbagai bidang termasuk penyelidikan dan pembangunan (R&D), pembangunan projek penyelidikan gunaan, penerbitan bersama, seminar dan persidangan, pertukaran bahan akademik dan teknikal, program mobiliti pelajar dan staf, pembangunan kurikulum berasaskan kompetensi industri serta program pembangunan kapasiti tenaga pengajar TVET.
Selain itu, kerjasama tersebut turut merangkumi peluang latihan industri, pembelajaran berasaskan kerja (Work-Based Learning), program pensijilan profesional, perkongsian amalan terbaik TVET dan penglibatan dalam inisiatif serantau termasuk ASEAN TVET Hub.
Sepanjang lawatan kerja rasmi itu, delegasi UMPSA turut mengadakan sesi mesyuarat strategik bersama pengurusan AKTI, lawatan ke kilang dan makmal, sesi pertukaran dokumen MoU, pembentangan berkaitan penyelidikan dan inovasi FTKEE, perkongsian kepakaran akademik serta sesi interaksi bersama pensyarah dan pelajar AKTI.
Kerjasama strategik ini dijangka membuka lebih banyak peluang kepada kedua-dua institusi dalam bidang penyelidikan bersama, pembangunan teknologi, mobiliti antarabangsa dan pembangunan modal insan, sekali gus mengukuhkan hubungan pendidikan tinggi antara Malaysia dan Indonesia dalam bidang kejuruteraan dan TVET berteraskan industri.
Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat
- 25 views
Reports by: