UMPSA dan PTNP jalin kerjasama strategik lestarikan alam sekitar
PEKAN, 4 Februari 2025 – Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dan Perbadanan Taman Negeri Pahang (PTNP) memeterai kerjasama strategik bagi memperkukuh bidang penyelidikan, akademik dan latihan teknikal berkaitan kelestarian alam semula jadi dalam majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di Pejabat Daerah dan Tanah Pekan hari ini.
Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Naib Canselor UMPSA, Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias, dan Ketua Eksekutif PTNP, Zainal Abidin Othman.
Majlis bersejarah ini turut disaksikan oleh Menteri Besar Pahang, YAB Dato' Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail.
Naib Canselor UMPSA, Profesor Dr. Yatimah Binti Alias menyifatkan kerjasama dengan PTNP sebagai platform terbaik untuk universiti menyumbang kepakaran dalam bidang kelestarian dan pembangunan komuniti.

“UMPSA sentiasa bersedia dalam menyokong agenda pelancongan melalui khidmat nasihat pakar dan program kesedaran alam sekitar bersama komuniti serta sustainability (kelestarian) dan juga melihat kepada entrepreneurship (keusahawanan) untuk kita melihat kepada bagaimana kita nak menyatukan komuniti setempat itu untuk menyokong agenda pelancongan Negeri Pahang
“UMPSA sememangnya aktif dalam melaksanakan program pelajar bersama komuniti setempat untuk menghargai alam sekitar.
“Saya yakin, dengan gabungan antara warga universiti, PTNP dan komuniti setempat, kita bukan sahaja mampu menghargai alam sekitar malah dapat menyokong agenda pelancongan di negeri Pahang, jelasnya,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Eksekutif PTNP, Zainal Abidin Othman berkata, agenda utama kolaborasi ini adalah untuk memperkasakan komuniti yang berada di bawah pengurusan PTNP khususnya di kawasan taman negeri serta projek pembangunan masa hadapan di Kepulauan Seri Buat dengan fokus utama mengimbangi pemeliharaan persekitaran dengan pertumbuhan sosioekonomi penduduk setempat di kawasan-kawasan yang telah dikenal pasti.
“Komuniti ini perlu diuruskan dengan sistem yang sistematik bagi memastikan kejayaan program yang berpanjangan.
“Saya berharap melalui kerjasama ini, pihak UMPSA dapat membantu PTNP merangka modul-modul praktikal yang boleh diguna pakai terus di lapangan.
“Gabungan kepakaran akademik dan pengurusan sumber alam ini amat penting bagi memastikan setiap inisiatif yang dirancang memberi impak nyata kepada komuniti,” katanya.
Majlis turut dihadiri Setiausaha Kerajaan Pahang, YB. Dato’ Sri Nazri Abu Bakar; Pegawai Kewangan Negeri Pahang, YB. Dato’ Indera Haji Fadzilla Haji Salleh; Penasihat Undang-undang Negeri Pahang, YB. Dato’ Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd. Ariff, Penolong Naib Canselor (Pembangunan) Jabatan Canseleri UMPSA, Profesor Dr. Mahadzir Ishak@Muhammad, Pengarah Pusat Pembangunan Kelestarian UMPSA, Dr. Suhaidah Hussain, dan Pegawai Operasi PTNP, Nurul Aida Zawakhir.
Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat
- 108 views
Reports by: