UMPSA jalin kerjasama dengan Alps Electric (M) Sdn. Bhd.
PEKAN, 23 Ogos 2024 - Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terus memperkukuhkan hubungan kerjasama dengan rakan industri menerusi pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) di antara UMPSA bersama Alps Electric (M) Sdn. Bhd.
Majlis menyaksikan Naib Canselor UMPSA, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin dan Pengarah Urusan, Alps Electric Sdn. Bhd., Wataru Tezuka menandatangani MoU dalam majlis yang berlangsung di Dewan Bankuet, Canseleri Tun Abdul Razak, UMPSA Pekan baru-baru ini.
Turut sama hadir Pengurus, Alps Electric (M) Sdn. Bhd., Mohammad Azman Mansor dan Dekan Fakulti Teknologi Kejuruteraan Pembuatan dan Mekatronik (FTKPM), Profesor Madya Ir. Ts. Dr. Faiz Mohd Turan.
Menurut Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie, kolaborasi antara UMPSA dengan Alps Electric (M) Sdn. Bhd. ini bakal memanfaatkan perkongsian kepakaran dalam pembelajaran berasaskan kerja (WBL) yang merupakan kaedah pembelajaran dengan tujuan memberikan pelajar penguasaan kandungan pembelajaran berasaskan aktiviti di tempat kerja.
“Melalui perjanjian persefahaman ini juga, ia bakal meningkatkan jaringan kolaborasi dan mengembangkan proses pemindahan ilmu dan teknologi dalam Program CEO@Faculty dan pembangunan penyelidikan.
“UMPSA sebagai salah sebuah universiti dalam Rangkaian Universiti-universiti Teknikal Malaysia (MTUN) juga turut menawarkan program Sarjana Muda Teknologi (BTEC) yang direka bentuk bagi menyediakan laluan pengajian tinggi kepada lepasan institusi TVET seperti Kolej Vokasional dan Institusi Latihan Kemahiran.
Manakala menurut Wataru Tezuka, pihaknya percaya kolaborasi ini bakal meneroka lebih banyak peluang kerjasama khususnya dalam bidang Kejuruteraan Pembuatan dan Mekatronik yang dapat memberi manfaat kepada kedua-dua pihak terutamanya pelajar.
Alps Electric (M) Sdn. Bhd. terlibat dalam bidang-bidang seperti sistem pengangkutan, automotif, sistem tenaga dan sistem keselamatan kenderaan.
Disediakan Oleh: Siti Nur Azwin Zulkapri, Pusat Komunikasi Korporat
- 130 views