Skip to main content

UMPSA jalin kerjasama dengan industri terokai inovasi pertanian pintar

KUALA LUMPUR, 18 Disember 2024 – Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dan DSR Fruits Sdn. Bhd. menjalinkan kerjasama strategik sebagai satu lagi langkah penting dalam usaha memajukan bidang akademik dan penyelidikan. 

Menurut Yang Menjalankan Fungsi Naib Canselor UMPSA, Profesor Ts. Dr. Aida Mustapha, Memorandum Persefahaman (MoU) ditandatangani ini berteraskan beberapa bidang kerjasama penting, termasuk inovasi ladang durian melalui teknologi pintar, penyelidikan bersama dalam bidang tenaga boleh diperbaharui untuk kelestarian ladang durian dan pembangunan teknologi sensor tempatan untuk pengesanan awal bahan logam berat di dalam buah durian.

UMPSA jalin kerjasama dengan industri terokai inovasi pertanian pintar

“Ini adalah bukti komitmen kedua-dua pihak dalam meneroka penyelesaian inovatif yang mampu memberi impak besar kepada industri agrikultur dan masyarakat.

“Sebagai sebuah universiti berteraskan teknologi dan inovasi, UMPSA sentiasa berusaha untuk menjadi pemangkin dalam memacu pembangunan ilmu dan teknologi melalui kerjasama industri. 

“MoU ini tidak hanya melibatkan penyelidikan dan penerbitan bersama, tetapi juga membuka peluang kepada pelajar dan pensyarah UMPSA untuk terlibat dalam projek-projek inovatif yang bersifat hands-on dan relevan kepada keperluan industri masa kini,” ujarnya. 

Katanya lagi, beliau berharap hasil daripada sesi menandatangani MoU ini akan membawa kepada penciptaan penyelesaian yang bukan sahaja mampu meningkatkan kecekapan dan produktiviti dalam industri durian tetapi juga membuka peluang kepada pemindahan teknologi dan ilmu antara universiti dan industri.

“Kerjasama ini diharapkan menjadi model terbaik untuk melahirkan generasi graduan yang kompeten, inovatif, dan bersedia menyahut cabaran revolusi industri 4.0 serta teknologi pertanian pintar,” katanya. 

Majlis yang diadakan di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC) itu menyaksikan Profesor Ts. Dr. Aida menandatangani dokumen kerjasama bersama Ketua Pegawai Eksekutif DSR Fruits Sdn. Bhd., Dato' Ng Lian Poh.
 
Hadir sama Dekan Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE), Profesor Ts. Dr. Hamdan Daniyal.

Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat

Reports by:
Naqiah Puaad