Skip to main content

UMPSA jalin kerjasama dengan penternak ikan Patin, bangunkan modul diagnosis kematian ikan

JERANTUT, 4 Januari 2025 – Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terus mengorak langkah dalam memperkukuh hubungan strategik bersama industri menerusi Memorandum Perjanjian (MoA) di bawah Geran Padanan Industri bernilai RM60,000 dengan penternak ikan patin di Jerantut. 

Inisiatif ini bertujuan menangani cabaran kadar kematian ikan patin yang tinggi iaitu dianggarkan sekitar 50 hingga 70 peratus setahun.

Menurut Penyelidik Utama Projek Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FSTI), Dr. Wan Norfazilah Wan Ismail, kajian ini akan memberi fokus kepada analisis kualiti air, termasuk parameter yang mungkin menyumbang kepada kematian ikan. 

“Penyelidikan juga akan merangkumi penyiasatan penyakit ikan melalui ujian molekul dan kajian bioakumulasi sebatian organik untuk mengesan sebarang jangkitan atau kesan toksik terhadap ikan ternakan.

“Hasil daripada penyelidikan ini akan dibukukan dalam bentuk modul diagnosis kematian ikan. 

“Modul ini dirangka untuk membantu penternak mengenal pasti punca masalah dengan lebih pantas dan mengambil tindakan tepat, termasuk memastikan sampel yang dihantar memenuhi piawaian ujian diagnostik. 

“Dengan adanya modul ini, penternak bukan sahaja dapat mengurangkan kadar kematian ikan tetapi juga memperbaiki amalan pengurusan ternakan secara menyeluruh,” jelasnya.

Turut serta dalam projek ini adalah Dr. Nor Adila Mhd Omar, Dr. Nurul Huda Abu Bakar, Dr. Khairiah Mohd Mokhtar, dan ChM. Dr. Tay Joo Hui.

UMPSA jalin kerjasama dengan penternak ikan Patin, bangunkan modul diagnosis kematian ikan

Pasukan ini komited untuk mengembangkan penyelesaian holistik yang mampu menyokong kelestarian industri akuakultur negara. 

Kerjasama ini sejajar dengan visi universiti untuk menyumbang kepada kemajuan industri tempatan melalui inovasi dan penyelidikan berimpak tinggi. 

Dengan termeterainya MoA ini, UMPSA dan rakan industri optimis terhadap pencapaian yang lebih besar dalam membangunkan industri akuakultur yang lebih mampan dan berdaya saing. 

Dengan pendekatan berasaskan ilmu dan teknologi, projek ini membawa harapan besar untuk membantu penternak mengurangkan kadar kematian ikan, meningkatkan hasil ternakan, dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi komuniti setempat.

Disediakan Oleh: Wan Norfazilah Wan Ismail, Fakulti Sains dan Teknologi IndustrI (FSTI)

Reports by:
Admin UMP News