Skip to main content

UMPSA jalin kerjasama industri dan berkongsi kepakaran dengan PROTON

TANJUNG MALIM ,14 Jun 2024 - Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dan Perusahaan Otomobil Nasional Sdn. Bhd. (PROTON), hari ini menjalinkan kerjasama menerusi satu memorandum persefahaman (MoU) membabitkan hubungan industri dan berkongsi kepakaran. 

MoU menyaksikan Naib Canselor UMPSA, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin dan Naib Presiden Modal Insan dan Pentadbiran PROTON, Amran Mohd Tomin mewakili PROTON bertukar dokumen bagi mengeratkan hubungan industri yang sedia terjalin. 

UMPSA jalin kerjasama industri dan berkongsi kepakaran dengan PROTON

"Kolaborasi ini melibatkan Pembelajaran Berasaskan Kerja atau Work Based Learning (WBL) iaitu pendekatan pembelajaran yang mengabungjalinkan pembelajaran di universiti dengan pembelajaran di industri bagi mewujudkan pengalaman bersepadu (teori dan praktikal) kepada pelajar UMPSA. 

“Malahan kerjasama ini turut melibatkan perkongsian kepakaran dan percambahan ilmu selain melahirkan graduan yang cekap serta profesional dalam industri automotif membabitkan bidang teknikal dan kejuruteraan automotif.

“Kerjasama ini antaranya mewujudkan gandingan aktiviti dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) inovatif yang berkaitan dengan industri kenderaan, termasuk mengadakan program pertukaran penyelidik, pakar akademik dan pelajar,” katanya. 

UMPSA jalin kerjasama industri dan berkongsi kepakaran dengan PROTON

Tambah beliau lagi, melalui MoU ini juga, UMPSA dan PROTON boleh berkongsi kemudahan dalam program penyelidikan yang dipersetujui bersama. 

“Pada masa ini, seramai empat orang pelajar Program Teknologi Kejuruteraan Mekanikal sedang mengikut WBL sejak bulan Mac lalu di sini untuk tempoh selama setahun. 

“Pelajar UMPSA juga berpeluang untuk mendapatkan latihan industri dan pengalaman pekerjaan sebenar dalam industri automotif di PROTON,” ujarnya. 

Berkongsi pencapaian universiti, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie menjelaskan, UMPSA merupakan satu-satunya universiti awam (UA) di Malaysia yang menerima pentauliahan Persijilan Antarabangsa Institute of the Motor Industry (IMI) United Kingdom sebagai salah sebuah pusat latihan kenderaan hibrid dan elektrik.  

“Dengan mendapatkan pertaulihan ini, UMPSA akan menyediakan latihan bagi mendapatkan Sijil Profesional bagi penyelengaraan EV yang diiktiraf IMI bukan sahaja buat para pelajar UMPSA malah, turut dimanfaatkan dengan memberi latihan kepada pihak industri termasuk PROTON dan komuniti luar,” katanya. 

Turut sama hadir Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa), Profesor Ir. Ts. Dr. Ahmad Ziad Sulaiman, Penolong Naib Canselor Pengembangan Akademik, Profesor Ts. Dr. Kamal Yusoh, Penolong Naib Canselor Pusat Jaringan Industri & Masyarakat (PJIM), Profesor Datin Ts. Dr. Mimi Sakinah Abdul Munaim, Dekan Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Automotif (FTKMA), Profesor Dr. Mahadzir Ishak@Muhammad dan lain-lain dekan fakulti serta barisan pengarah.  

Disediakan Oleh: Nur Azwin Zulkiple, Pusat Komunikasi Korporat 

Reports by:
AINIEY