Skip to main content

UMPSA meterai kerjasama dengan Aviation Australia memperkukuh bidang Aeroangkasa

GAMBANG, 3 Februari 2026 - Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) hari ini memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Aviation Australia dalam satu majlis yang berlangsung di Dewan Bankuet, UMPSA Kampus Gambang, sebagai langkah strategik memperkukuh kerjasama dalam bidang aeroangkasa dan pembangunan bakat industri penerbangan.

Majlis menyaksikan Naib Canselor UMPSA, Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias dan Dekan Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Automotif (FTKMA), Profesor Ir. Dr. Mohd Fairusham Ghazali, menandatangani MoU bersama Ketua Pegawai Komersial Aviation Australia, Brendan Mikkelson dan Dekan Eksekutif Pendidikan Tinggi dan Teknologi, Aviation Australia, Profesor Talal Yusaf.

Menurut Profesor Ts. Dr. Yatimah pemeteraian MoU ini bukan sekadar satu perjanjian rasmi, sebaliknya merupakan kesinambungan kepada hubungan kerjasama yang telah dibina berasaskan kepercayaan, aspirasi bersama dan komitmen jangka panjang.

“UMPSA sentiasa menekankan keperluan universiti untuk kekal relevan dengan mendengar keperluan industri dan masa hadapan. 

“Bidang Aeroangkasa telah dikenal pasti sebagai salah satu fokus strategik universiti, selari dengan kekuatan UMPSA dalam kejuruteraan, penyelidikan gunaan dan pendidikan berteraskan industry.

“Fokus Aeroangkasa UMPSA merangkumi teknologi penerbangan termaju seperti sistem udara tanpa pemandu (UAS), dron dan pembangunan roket, di samping komitmen melahirkan modal insan beretika serta berkemahiran tinggi,” ujarnya. 

Kerjasama ini merupakan hasil perbincangan awal yang bermula pada bulan November lalu melibatkan UMPSA, Aviation Australia dan Central Queensland University yang membuka ruang kepada pengenalpastian bidang kolaborasi berimpak tinggi untuk diterjemahkan melalui MoU ini.

Antara perancangan utama hasil kerjasama tersebut termasuk penawaran program latihan juruterbang jarak jauh bagi pengendali dron dengan pensijilan yang diiktiraf di peringkat tempatan dan antarabangsa, serta pengukuhan peranan Pusat Mobiliti dan Aeroangkasa Termaju UMPSA sebagai platform nasional pembangunan kemahiran, inovasi dan penyelidikan gunaan.

UMPSA meterai kerjasama dengan Aviation Australia memperkukuh bidang Aeroangkasa

Menurut beliau lagi, manfaat utama kerjasama ini adalah kepada pelajar, penyelidik, ahli akademik dan rakan industri yang bakal menikmati pengalaman pembelajaran dan penyelidikan yang lebih dekat dengan keperluan sebenar industri.

“UMPSA amat menghargai kepercayaan yang diberikan oleh Aviation Australia dan yakin kerjasama ini akan terus berkembang demi manfaat institusi, industri serta masyarakat,” tambahnya.

Majlis menandatangani MoU ini mencerminkan komitmen UMPSA dalam memperkukuh jaringan antarabangsa dan menyokong agenda pembangunan bakat berkemahiran tinggi selaras dengan keperluan industri penerbangan global.

Turut hadir Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Dato’ Ir. Ts. Dr. Ahmad Ziad Sulaiman, Penolong Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa (Pengantarabangsaan dan Kerjasama Akademik), Profesor Datin Ts. Dr. Mimi Sakinah Abdul Munaim, Pengarah Kanan Pusat Mobiliti Termaju dan Aeroangkasa, Profesor Dr. Rizalman Mamat, serta Pengarah Pusat Jaringan Global, Profesor Madya Ts. Dr. Herma Dina Setiabudi.

Disediakan Oleh: Siti Nur Azwin Zulkapri, Pusat Komunikasi Korporat

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri