UMPSA teroka kerjasama industri nanas bersama Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM)
PEKAN, 11 Julai 2024 - Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) meneroka bidang industri nanas melalui kerjasama dengan Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) dengan termeterainya memorandum perserfahaman (MoU) berkaitan penyelidikan, pembangunan dan pemerkasaan teknologi dalam industri nanas di Malaysia.
Majlis menyaksikan Naib Canselor UMPSA, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin dan Ketua Pengarah LPNM, Mohd Khairuzamri M. Salleh menandatangani MoU dengan disaksikan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah LPNM, Tuan Haji Sheikh ‘Umar Bagharib Ali yang berlangsung di Dewan Bankuet UMPSA Pekan.
Menurut Naib Canselor UMPSA, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie, kerjasama ini bakal memberi manfaat kepada kedua-dua belah pihak dan UMPSA sentiasa komited untuk membina kerjasama bermakna bersama pihak agensi dalam usaha melahirkan penyelidik dan graduan yang kompeten, kalis cabaran dan menepati kehendak industri pada masa kini.
“Kerjasama kedua-dua pihak ini mula terjalin melalui projek Geran Program Pemindahan Ilmu di bawah program pendanaan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) pada tahun 2017 berkenaan pengurusan keselamatan dan kesihatan pekerjaan di ladang nanas oleh sekumpulan penyelidik dari program Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan yang kini berada di Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FSTI).
“Kesinambungan daripada itu, beberapa penyelidik UMPSA telah berkerjasama dengan pihak LPNM Negeri Pahang dalam bidang inovasi dan penyelidikan berkaitan dengan sisa nanas serta teknologi penanaman nanas seperti inovasi cendawan nanas oleh Profesor Madya Dr. Aizi Nor Mazila Ramli (FSTI), Baja Organik Prebiotik Prepecto oleh Dr. Noormazlinah Ahmad (Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses) dan dron pembajaan oleh Ts. Joharial Johari dari Pusat TVET Termaju.
“Selain itu, beberapa penyelidik lain juga turut terlibat membantu inisiatif LPNM dalam projek ‘Pineapple Night Farming’ dengan penggunaan kuasa solar dan teknologi Internet of Things (IoT),” ujarnya.
Katanya lagi, UMPSA sangat komited dan berharap dapat membantu LPNM dengan kepakaran dalam kalangan penyelidik di UMPSA.
“Seramai 22 orang penyelidik yang terlibat dengan penyelidikan berkaitan dengan nanas dan memperoleh dana penyelidikan sama ada di peringkat universiti, KPT atau industri yang melibatkan keseluruhan penyelidikan tersebut sebanyak RM 2,043,005.00 sejak tahun 2015.
“Saya berharap hasil penyelidikan yang dihasilkan itu dapat membantu perindustrian nanas negara sesuai dengan salah satu fungsi LPNM yang menyokong penyelidikan berkaitan industri nanas dalam usaha meningkatkan ekonomi negara dengan penghasilan buah nanas berkualiti tinggi bagi pasaran eksport serta produk hiliran yang dapat membantu komuniti setempat serta usahawan-usahawan tempatan.
“Kerjasama ini juga diharapkan dapat membuka ruang lebih luas kepada UMPSA melalui Pusat Penyelidikan Bioaromatik dalam mengkoordinasi kerjasama bersama LPNM dan rakan strategik serta usahawan-usahawan di bawah bimbingan LPNM bagi memanfaatkan kedua-dua pihak dalam bidang latihan, penyelidikan dan inovasi, penulisan, penerbitan, konsultasi dan kumpulan pemikir mengenai teknologi penanaman nanas, hasil sisa nanas dan produk inovasi lain,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Lembaga Pengarah LPNM, Tuan Haji Sheikh ‘Umar Bagharib Ali berkata, kerjasama ini membuka peluang besar untuk pengembangan ilmu dan kemahiran dalam bidang penyelidikan serta teknologi pertanian.
“Melalui kerjasama ini, terdapat pendedahan yang luas dalam pelbagai aspek seperti Internet of Things (IoT), Revolusi Perindustrian 4.0, dan teknologi terkini yang berkaitan dengan pertanian.
“MoU pada hari ini juga merupakan satu langkah penting dalam merealisasikan program kebitaraan yang bertujuan untuk memperkasakan pembangunan industri nanas melalui kerjasama dengan institusi pendidikan seperti UMPSA.
“Ini adalah selaras dengan hasrat kita untuk menjadikan Malaysia sebagai peneraju dalam teknologi pertanian, khususnya dalam industri nanas,” ujarnya.
Hadir sama, Pengarah LPNM Pahang, Azhan Austad, Pengarah LPNM Kelantan, Muhammad Fauzan Mohd, dan Pengarah Urusan Oked Kesuma Sdn. Bhd., Dr. Zul Hasimi Harun.
Turut sama hadir Pengarah Kanan Pusat Pengurusan Kecemerlangan Penyelidikan, Profesor ChM. Dr. Chong Kwok Feng, Dekan FSTI, Profesor Madya Dr. Aizi Nor Mazila Ramli dan Pengarah Pusat Penyelidikan Bioaromatik, Profesor Madya Ts. Dr. Roshahliza M. Ramli.
Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat
- 173 views