UMPSA, UMS meterai MoA Program TVET Borneo Pesisir perluas akses pendidikan tinggi di Sabah
KOTA KINABALU, 14 Ogos 2026 – Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dan Universiti Malaysia Sabah (UMS) hari ini memeterai Memorandum Perjanjian (MoA) bagi pelaksanaan Program TVET Borneo Pesisir dalam usaha memperluas akses pendidikan tinggi berteraskan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) kepada masyarakat di Sabah dan wilayah Borneo.
Majlis yang berlangsung di Galeri Majlis, UMS itu menyaksikan Naib Canselor UMPSA, Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias dan Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Haji Mansor menandatangani memorandum perjanjian (MoA) dalam memperkasakan agenda TVET Termaju di negara ini.

Menurut Naib Canselor UMPSA, Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias, kerjasama ini mampu memberi peluang pendidikan tinggi berkualiti, khususnya TVET, boleh diakses oleh bakat-bakat terbaik tanpa dibatasi faktor geografi.
“Anak muda di Sabah dan Sarawak tidak seharusnya terpaksa memilih antara impian akademik dengan cabaran jarak serta kos pergerakan.
“Sebaliknya, institusi pendidikan tinggi (IPT) perlu menggerakkan kepakaran, kurikulum dan ekosistem sokongan lebih dekat kepada mereka.

“Melalui kerjasama erat bersama UMS, kita membawa program akademik berteraskan TVET yang relevan dengan keperluan industri dan aspirasi masyarakat Sabah, sekali gus membuka laluan pendidikan baharu kepada generasi muda di Borneo,” ujarnya.
Beliau berkata, melalui Program TVET Borneo Pesisir, dua program Sarjana Muda Teknologi ditawarkan secara pesisir di UMS iaitu Sarjana Muda Teknologi Penyelenggaraan Fasiliti Minyak dan Gas dengan Kepujian (BVF) serta Sarjana Muda Teknologi Penyelenggaraan Sistem Elektrik dengan Kepujian (BVE).
Kedua-dua program tersebut dipilih berdasarkan kekuatan akademik UMPSA, kesesuaian ekosistem pembelajaran di UMS serta permintaan tenaga mahir dalam sektor-sektor strategik negara.
Selain itu, program berkenaan turut mendapat pengiktirafan Lembaga Teknologis Malaysia (MBOT) pada 18 Jun 2025 sebagai program kerjasama Bachelor of Technology TVET secara pesisir yang pertama dilaksanakan oleh institusi pendidikan tinggi awam di negara ini.
Program itu dilaksanakan melalui model pengajian selama tiga tahun setengah yang menggabungkan pengalaman pembelajaran di UMS, UMPSA dan industri menerusi pendekatan Work-Based Learning (WBL).
Manakala model tersebut membolehkan pelajar memperoleh pendedahan akademik, teknikal dan industri secara menyeluruh sebelum menamatkan pengajian.
Ujar beliau lagi, setakat ini, seramai 34 pelajar telah mendaftar sebagai kohort pertama program berkenaan, melibatkan 19 pelajar dalam program BVE dan 15 pelajar dalam program BVF.
“Saya yakin kerjasama yang menggabungkan kekuatan teknikal UMPSA, kepakaran dan jaringan strategik UMS serta sokongan kerajaan, industri dan agensi berkaitan akan menjadikan program TVET Borneo Pesisir sebagai model kerjasama pendidikan tinggi yang mampu memberi impak besar kepada pembangunan modal insan di Borneo.
“Malah, kerjasama pelaksanaan Program TVET Borneo Pesisir ini akan berjaya dan menghasilkan manfaat yang berkekalan kepada pelajar, keluarga, industri, negeri Sabah dan negara,” katanya.
Sementara itu, Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Haji Mansor berkata, pemeteraian MoA ini bukan sekadar melibatkan sebuah dokumen kerjasama, malah melambangkan komitmen bersama kedua-dua institusi untuk membuka lebih banyak peluang pendidikan TVET berkualiti tinggi kepada masyarakat di Borneo, khususnya anak-anak Sabah.
“Pendidikan TVET kini bukan lagi sekadar laluan alternatif, sebaliknya menjadi laluan strategik dalam membangunkan modal insan yang berkemahiran tinggi, berdaya saing dan memenuhi keperluan industri,” ujarnya.
Turut hadir Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMPSA, Profesor Ts. Dr. Kamal Yusoh; Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMS, Profesor Ir. Dr. Rosalam Haji Sarbatly; Pengarah Pusat Perancangan dan Pembangunan Akademik UMPSA, Ts. Dr. Mohd Ruzaimi Mat Rejab serta barisan pengurusan kanan kedua-dua universiti.
Inisiatif ini turut mendukung aspirasi Pelan Strategik MTUN TVET Termaju 2030 yang menyasarkan enrolmen 150,000 pelajar TVET menjelang tahun 2030, sekali gus melahirkan lebih ramai graduan berkemahiran tinggi yang mampu memenuhi keperluan industri negara.
Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat
- 32 views
Reports by: