Skip to main content

Yayasan UMP bakal lancar nombor pendaftaran khas hasil kolaborasi strategik dengan Aquatwo

KUANTAN, 22 November 2021 - Universiti Malaysia Pahang (UMP) bakal melancarkan plat nombor pendaftaran no. siri khas ‘UC’ 1 sehingga ‘UC’ 9999 yang hanya boleh ditawarkan kepada orang awam secara bidaan setelah selesai proses pewartaan menjelang sambutan ulang tahun UMP ke-20 pada tahun hadapan.

Ia diselaraskan pihak Yayasan UMP hasil kerjasama strategik dengan Syarikat Aquatwo Sdn. Bhd. bagi tujuan pendidikan, penyelidikan dan meningkatkan bantuan kebajikan mahasiswa universiti ini. 
Menerusi pemeteraian Memorandum Perjanjian (MoA) itu pihak Aquatwo akan melaksanakan pengoperasian proses bidaan, pemasaran dan operasi jualan.  

Majlis menyaksikan Pengerusi Lembaga Pengarah UMP, Tan Sri Dato’ Sri Dr. Abdul Aziz Abdul Rahman merangkap Pengerusi Yayasan UMP dan Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin yang menjalankan fungsi Naib Canselor UMP merangkap Timbalan Pengerusi Yayasan UMP menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) yang berlangsung di Hotel Hyatt Kuantan.

Manakala Aquatwo Sdn. Bhd. diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Muqharabbin Mokhtaruddin dan Pengarah Urusannya, Datin Nabiha Mustapha

Yayasan UMP bakal lancar nombor pendaftaran khas hasil kolaborasi strategik dengan Aquatwo

Menurut Tan Sri Dato’ Sri Dr. Abdul Aziz, universiti perlu lebih berkreativiti dalam meningkatkan pendapatan dan menampung dalam pengurusan, penyelidikan juga pengurusan kebajikan mahasiswa.

“UMP sentiasa terbuka dan berfikir jauh dalam penjanaan universiti. 

“Ia boleh dilihat pada hari ini melalui penubuhan Yayasan UMP yang meningkatkan mutu pendidikan di UMP dan membantu golongan yang memerlukan.

“Kerjasama industri juga merupakan satu inisiatif signifikan yang membantu universiti bukan sahaja dari segi pendanaan malah meningkatkan kualiti penyelidikan di UMP melalui perkongsian pemindahan kepakaran teknologi (technology transfer), perundingan serta kajian produk,” ujarnya. 

Tambah beliau lagi, barisan Lembaga Pengarah Universiti telah bersetuju agar cadangan penjualan nombor pendaftaran khas universiti diselaraskan oleh Yayasan UMP bagi tujuan pendidikan, penyelidikan dan meningkatkan bantuan kebajikan kepada mahasiswa UMP.

“Pihak kami mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Kementerian Pengangkutan yang telah meluluskan usaha ini.

“Kombinasi kedua-dua huruf ‘UC’ ini diambil bagi mewakili huruf ‘U’ yang juga awalan perkataan universiti iaitu UMP manakala ‘C’ adalah nombor pendaftaran kenderaan rasmi bagi negeri Pahang selain keistimewaan tersendiri dengan perkataan unik ‘You See’,” ujarnya.

Yayasan UMP merupakan usaha universiti dalam mengumpul dan mengurus dana daripada orang ramai, syarikat dan institusi bagi kegunaan kebajikan pelajar UMP serta membiayai program pendidikan, kemasyarakatan dan menyediakan kemudahan pembelajaran tambahan yang digunakan oleh pelajar dan universiti.

Sehingga kini, Yayasan UMP telah mengagihkan dana sebanyak RM4,018,276 kepada 12,099 penerima manfaat sepanjang tahun 2020 dan 2021 ini.

Disediakan oleh: Mimi Rabita Abdul Wahit, Unit Komunikasi Korporat, Pejabat Naib Canselor (PNC)

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Mimi Rabita binti Abd Wahit