KUANTAN – Agenda Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) negara terus diperkukuh di institusi pendidikan termasuk membabitkan TVET dalam kepelbagaian sektor di Pahang.
Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang, Datuk Seri Ir. Mohd Soffi Tan Sri Abd Razak, kerajaan negeri komited dalam memperkasakan pendidikan TVET sebagai pemacu pembangunan masa depan negeri dan negara.
“Menjadi dasar kerajaan negeri selaras dengan kerajaan pusat untuk memberi ruang kepada semua warga mendapat akses pendidikan termasuk TVET termasuk belia, orang kelainan upaya (OKU) dan mereka yang ingin meningkatkan kemahiran.
”TVET adalah platform pembangunan modal insan yang bersifat masa hadapan serta berkait rapat dengan industri.
”Kerajaan Negeri Pahang telah mengambil langkah proaktif melalui pelbagai inisiatif seperti penubuhan Akademi Rel Pahang dan biasiswa TVET untuk anak-anak negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Hari Terbuka UMPSA 2025 sempena Sambutan Hari TVET Negara yang berlangsung selama dua hari mulai 18 Jun di Kompleks Sukan UMPSA Kampus Gambang di sini hari ini.
Hadir sama Naib Canselor UMPSA, Prof Dr Yatimah Alias dan Exco Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi & Inovasi Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Mohd Nizar Mohamad Najib.
Beliau turut berbangga apabila melihat UMPSA berada di hadapan dalam memperkenalkan TVET bertaraf antarabangsa termasuk program mobiliti pelajar ke luar negara, kerjasama akademik-industri dan pembangunan kampus pintar.
Selain itu, Soffi turut menzahirkan penghargaan terhadap usaha UMPSA yang terus menerajui bidang TVET bertaraf antarabangsa melalui kerjasama strategik bersama industri dan institusi global seperti Beijing Jiaotong University ( BJTU).
Sementara itu, Prof Dr Yatimah berkata, penganjuran Program International Young Future Leaders Summit (iFUTURE’25 @UMPSA) merupakan satu platform strategik nasional yang diilhamkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi sebagai medan terbaik untuk memperkasa kepimpinan mahasiswa berjiwa MALAYSIA.
“Ia membuka ruang untuk generasi pelapis negara memahami dan membincangkan isu-isu nasional serta global melalui wacana, dialog dan sesi libat urus bersama pemimpin.
”Hari Terbuka UMPSA sebagai menyemarakkan Hari TVET Negara dirangka sebagai platform inklusif untuk menghubungkan pelbagai pihak pelajar, komuniti, industri dan pembuat dasar dalam ekosistem pendidikan tinggi yang holistik,” katanya.
Dalam pada itu, pengisian forum iFUTURE menampilkan sesi berprestij dikendalikan oleh Prof Madya Ir. Dr. Nurul Hazlina Noordin sebagai moderator bersama panel jemputan termasuk Presiden dan Ketua Eksekutif TNB, Datuk Ir. Megat Jalaludin Megat Hassan dan Mohd Nizar Mohamad Najib.
Penganjuran iFUTURE kali ini berlangsung dengan tiga siri yang memberi fokus kepada Pemerkasaan Wanita, Agenda TVET dan Dialog Mahasiswa ASEAN yang menghimpunkan pelajar dari pelbagai universiti luar negara termasuk Universitas Indonesia, Vietnam University of Ho Chi Minh, University of Southeastern Philippines, Svay Rieng University dari Kemboja dan Nanyang Technological University dari Singapura. – MalaysiaGazette