COVID 19: Norma Baharu dalam Pengajaran dan Pembelajaran
Serangan Pandemik COVID-19 telah mengubah corak kehidupan manusia, merencatkan pertumbuhan ekonomi dan turut menjejaskan sistem pendidikan. Jika dahulu aktiviti Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) secara konvensional namun kini sebaliknya apabila dunia pendidikan berada dalam alam maya.
Justeru, ikuti perkongsian pandangan dan pengalaman Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Universiti Malaysia Pahang (UMP), Profesor Ts. Dr. Mohd Rosli Hainin dalam usaha universiti menempuhi norma baharu terhadap sistem pembelajaran.
S. COVID-19 meningkatkan keperluan norma baharu dalam sistem pendidikan, iaitu pembelajaran dalam talian, boleh Prof. kongsikan bagaimana UMP menanganinya?.
J. Alhamdullilah, hampir setahun keadaan negara berdepan penularan jangkitan pandemic COVID-19 yang menggugat rutin sosioekonomi dan pendidikan sejagat. Ia dilihat telah memaksa Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) dan Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS) untuk bertindak memperkasakan sistem pembelajaran dalam menangani cabaran krisis COVID-19.
Lantaran itu, sebaik Kerajaan Malaysia mengisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac 2020, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) telah meminta setiap universiti mengaktifkan mod Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) secara dalam talian (online). Justeru, UMP terus mengambil beberapa tindakan supaya proses pembelajaran di UMP ini masih lagi berlaku dan diharapkan pelajar juga mampu belajar walaupun berada di mana-mana sahaja supaya jangkaan graduasi pelajar dapat kita capai seperti yang diharapkan.
Pada saat itu, UMP terus melaksanakan PdP dalam talian. Pelajar juga diminta berurusan dengan pihak fakulti masing-masing supaya mereka dapat menerima pengajaran dan dapat mendalami proses pembelajaran dengan sempurna. Walau bagaimanapun, kita memahami sebilangan pelajar yang mengalami kesusahan dalam capaian Internet. PdP dalam talian ini sebenarnya pelajar mesti berpaksikan kepada kelajuan Internet data yang mereka ada.
Alhamdulillah, terdapat beberapa syarikat telekomunikasi yang memberi beberapa inisiatif untuk membantu pelajar yang berada di kawasan yang sukar mendapat capaian Internet. Namun, kita juga telah mendapat maklum balas masih terdapat segelintir pelajar yang berdepan dengan masalah Internet bagi mencapai bahan pengajaran yang telah didigitalkan.
Bermula 1 Jun 2020, proses PdP di UMP bersambung pada minggu keenam semester II. Walaupun pada mulanya agak kucar-kacir memandangkan pelajar masih baharu untuk membiasakan diri dengan PdP dalam talian. Begitu juga dengan pensyarah, bukan pelajar sahaja yang mengalami kepayahan, pensyarah juga mengalami masalah yang sama memandangkan mereka terpaksa menyediakan modul-modul di dalam bentuk digital. Pensyarah juga perlu menukar kaedah pengajaran daripada kaedah konvensional iaitu secara bersemuka kepada kaedah digital yang diaplikasikan secara dalam talian (online).
Inilah norma baharu pembelajaran secara fizikal yang telah ditukar kepada PdP dalam talian. Ini adalah selaras dengan saranan KPT yang menggalakkan pembelajaran secara dalam talian dan tidak membenarkan PdP secara fizikal.
S. Bagaimana pula dengan maklum balas pelajar terhadap kaji selidik yang dijalankan pihak universiti?.
J. Hasil dari kaji selidik yang telah dijalankan kepada semua pelajar telah pun dikenal pasti. Antara masalah yang dihadapi ialah penggunaan data Internet yang banyak. Ini adalah kerana penggunaan kandungan digital kuliah secara langsung yang memerlukan data yang banyak. Walaupun pelajar mempunyai data tetapi untuk penggunaan dalam masa sebulan pembelajaran bagi satu semester itu adalah tidak mencukupi.
Selain itu, masalah kelajuan Internet di kawasan kediaman masing-masing terutama mereka yang tinggal di luar bandar. Ada yang terpaksa pergi ke restoran yang mempunyai Internet untuk mendapatkan capaian Internet untuk PdP. Malah, ada juga masalah bagi pelajar yang mempunyai Internet di rumah tetapi mempunyai kekangan kerana dalam satu rumah mempunyai adik-beradik yang menggunakan data yang sama, jadi kelajuan data dalam sebuah rumah agak perlahan memandangkan semuanya sedang belajar secara dalam talian. Jadi kemungkinan besar kelajuan untuk mendapatkan PdP secara digital tidak dapat dicapai dengan baik.
Di sampimg itu juga, terdapat egelintir pelajar yang didapati tidak mempunyai peralatan yang bersesuaian seperti tidak mempunyai komputer riba (laptop). Ruang pembelajaran yang tidak kondusif juga antara menjadi rungutan pelajar yang berasa terganggu dengan masalah keluarga mereka seperti mebuat bising dan sebagainya..
S. Adakah UMP menerima maklum balas tentang pelajar yang langsung tidak dapat mengikuti PdP secara dalam talian?.
J. Setakat ini, alhamdulillah semua pelajar UMP telah dapat mencapai kaedah pengajaran secara dalam talian ini. Kita telah membuat kaji selidik, memang terdapat beberapa pelajar yang tidak mempunyai komputer riba (laptop). Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA) dan Yayasan UMP telah bertindak proaktif dengan menyediakan insentif peminjaman komputer riba kepada pelajar yang berkeperluan supaya proses pembelajaran tersebut dapat dijalankan. Begitu juga dengan pelajar yang berkeperluan akses Internet boleh mohon untuk datang ke kampus dan tinggal di asrama pelajar dan menggunakan Internet di kampus. Jadi mereka akan belajar dengan lebih sempurna dan pencapaian yang lebih mantap.
S. Apakah inisiatif atau bantuan yang disediakan oleh UMP kepada pelajar dalam proses PdP supaya pelajar tidak ketinggalan?.
J. Kita bersyukur mendapat kerjasama daripada Pusat Teknologi Maklumat dan Komunikasi (PTMK) dan pihak YTL Foundation yang bersetuju untuk memberikan 40GB data percuma kepada semua pelajar. Usaha murni YTL Foundation ini amat membantu pelajar dalam proses PdP.
Maklumat lengkap pelajar juga telah diperoleh untuk mengetahui lokasi dan permasalahan Internet di tempat mereka. Sekiranya mereka memaklumkan terdapat permasalahan tersebut, kita akan menghubungi syarikat telekomunikasi untuk mohon menaik taraf kelajuan Internet di kawasan tersebut.
Sebanyak 80 peratus pelajar UMP tergolong dalam golongan berpendapatan rendah (B40). Justeru, para pelajar ini digalakkan untuk memohon zakat UMP. Syukur alhamdulillah lebih kurang 1,700 pelajar kanan telah memohon dan mereka telah diberikan amaun sebanyak RM300 hingga RM500 supaya mereka dapat menampung keperluan untuk mendapatkan data-data supaya proses PdP berjalan lancar.
Sekiranya pelajar masih lagi menghadapi masalah dalam PdP, mereka boleh memohon untuk tinggal di dalam asrama pelajar dan meneruskan pengajian dan menggunakan kemudahan fasiliti di UMP.
Selain itu juga, inisiatif peminjaman komputer juga turut dilaksanakan bagi membantu pelajar yang memerlukan. Prihatin terhadap pensyarah, UMP juga memberikan kemudahan pembelian komputer riba secara one-off dan alat bantuan mengajar berdasarkan peraturan yang telah ditetapkan oleh universiti. Pihak PTMK juga membantu membaik pulih komputer yang masih elok untuk kegunaan pelajar yang memerlukan.
Sehingga kini, sebanyak 200 buah komputer telah diserahkan kepada Yayasan UMP untuk diedarkan kepada pelajar yang memerlukan.
S. Boleh Prof. ceritakan usaha membantu pensyarah dalam menghadapi norma baharu dalam pengajaran ini?
J. Untuk staf akademik pula, dari awal lagi Pusat Sumber Pengajaran & e-Pembelajaran (PSPe) telah melaksanakan pelbagai kursus-kursus untuk pensyarah sebagai persediaan untuk memberi pendedahan dalam penggunaan teknologi digital. Pendedahan ini amat diperlukan terutama kepada pensyarah kanan.
Selain itu, UMP juga turut menganjurkan kursus penggunaan alat digital dalam pengajaran dan cara untuk membangunkan kandungan digital termasuklah penggunaan video-video dan penggunaan platform interaksi antara pelajar dan pensyarah seperti aplikasi Google Classroom, Google Meet, Webex dan yang paling asasnya menerusi aplikasi Whatsapp.
Usaha-usaha ini dilakukan bagi mendorong mereka agar boleh mentransfomasikan peperiksaan akhir kepada penilaian alternatif supaya pencapaian program output (PO) yang kita telah reka bentuk sebelum berlaku proses PdP dapat dicapai. Itu antara hasrat kita supaya pensyarah-pensyarah ini dapat mengguna pakai apa yang telah dicadangkan kepada mereka.
Pihak pengurusan UMP juga telah bersetuju untuk memberikan insentif sebanyak RM 500 secara one-off kepada staf akademik dan tenaga pengajar UMP untuk pembelian perkakasan bagi PdP dalam talian. Diharapkan dengan insentif ini staf akademik dapat membeli alat-alat seperti mikrofon, skrin sentuh dan apa jua yang boleh membantu dalam penyediaan kandungan digital. Peralatan ini amat perlu bagi membantu staf akademik dalam usaha meningkatkan mutu pengajaran agar kualiti video adalah sama seperti seolah-olah pelajar berada di dalam kelas.
S. Bagaimana pula kolaborasi antara KPT dan universiti dalam usaha membantu pelajar mendapatkan kemudahan fasiliti Internet di dalam kampus?
J. Pihak KPT juga ada memohon kerjasama antara IPT di seluruh Malaysia supaya jika berlakunya para pelajar yang berada berhampiran dengan IPT yang ada, mereka boleh memohon di saluran yang betul menerusi Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) untuk berada di dalam kampus IPT yang berhampiran supaya mereka boleh mendapat signal Internet serta ruang pembelajaran yang bersesuaian.
Contohnya, untuk kes semester II, pada bulan Jun 2020, kita ada menerima pelajar dari Universiti Malaysia Kelantan (UMK) yang berada berhampiran dengan UMP Pekan dan pelajar tersebut melalui TNCAA UMK telah memohon untuk berada di dalam kampus UMP. Pihak UMP dengan tangan terbuka menerima pelajar tersebut dan menempatkannya di Perpustakaan UMP agar pelajar tersebut dapat mengguna pakai komputer dan menerima Internet yang baik. Alhamdulillah pelajar tersebut telah berjaya menghabiskan semester tersebut dan menjalani peperiksaan di UMP.
Pelajar UMP di Sabah juga mempunyai masalah yang sama iaitu tidak dapat signal Internet dan berada di luar bandar. Pelajar ini kita telah bantu membuat permohonan dengan pihak Universiti Putra Malaysia (UPM) cawangan Bintulu yang kebetulan berhampiran dengan rumah pelajar tersebut. UMP telah memohon jasa baik UPM cawangan Bintulu untuk menempatkan pelajar UMP tersebut.
Alhamdulillah juga, pelajar kita ini telah berjaya menghabiskan sesi pembelajarannya di sana dan kolaborasi ini sangatlah baik dalam usaha membantu pelajar.
S. Bagaimana keadaan pelajar yang berada di dalam kampus pada masa ini?
J. Seperti saranan KPT, terdapat beberapa kategori pelajar yang dibenarkan masuk ke kampus iaitu pelajar yang memerlukan latihan amal, praktikal, makmal atau menggunakan peralatan khusus serta mereka perlu menduduki peperiksaan badan profesional.
Selain itu, kita turut memberikan pelajar yang tidak mempunyai akses Internet atau persekitaran yang kurang kondusif seperti ruang belajar sempit bagi melaksanakan aktiviti PdP secara dalam talian telah dibenarkan berada di dalam kampus.
Pada masa ini, terdapat kira-kira seramai 1,100 pelajar yang berada di dalam kampus dalam pelbagai kategori. Untuk makluman, kebanyakan pelajar yang berada di sini merupakan pelajar tahun akhir untuk menghabiskan kerja-kerja makmal dan projek tahun akhir supaya mereka dapat menamatkan pengajian pada masa yang ditetapkan. Setiap pelajar juga perlu mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan.
S. Apakah harapan Prof. agar semua pelajar dapat meneruskan pembelajaran dengan norma baharu ini?
J. UMP telah memainkan peranannya untuk memastikan semua pelajarnya tidak ketinggalan di dalam pelajaran. Terima kasih kepada semua Dekan fakulti yang memberikan kerjasama untuk memastikan pelajar dapat meneruskan pembelajaran.
Saya berharap semua mahasiswa untuk terus istiqamah dalam PdP secara dalam talian. Saya faham PdP dalam talian ini bukannya mudah, kerana saya juga mempunyai lima orang anak yang melalui proses PdP dalam talian. Saya juga berharap agar ahli keluarga dapat memberikan sokongan dan dorongan kepada anak-anak. Pastikan tiada yang ponteng dan pastikan juga sikap integriti dalam melaksanakan peperiksaan secara dalam talian supaya mutu pelajar atau graduan yang dihasilkan kelak kekal berkualiti. Saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada semua warga UMP kerana UMP berjaya menduduki tangga ke-133 terbaik di Asia dalam penarafan Quacquarelli Symonds (QS) World University Ranking: Asia 2021 yang diumumkan baru-baru ini.
Disediakan Oleh: Nor Salwana Mohd Idris, Unit Komunikasi Korporat, Pejabat Naib Canselor
- 7295 views