CITReX 2026 perkasa budaya penyelidikan dan inovasi berimpak tinggi
GAMBANG, 7 Mei 2026 - Program 16th Creation, Innovation, Technology & Research Exposition (CITReX) 2026 anjuran Jabatan Penyelidikan dan Inovasi, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) berjaya memupuk budaya penyelidikan berimpak yang dapat memberi manfaat buat masyarakat.
Hadir merasmikan majlis penutup CITREX 2026, Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Dato’ Seri Abdul Razak Jaafar yang turut menyampaikan hadiah dan pengiktirafan kepada para pemenang CITReX 2026.
Dalam majlis itu, Dato’ Seri Abdul Razak merakamkan penghargaan kepada pihak penganjur dan seluruh warga kerja UMPSA atas kejayaan menganjurkan CITReX 2026 yang memasuki edisi ke-16 pada kali ini.
Menurutnya, penganjuran CITReX 2026 menjadi platform penting dalam menghimpunkan penyelidik, ahli akademik, wakil industri dan pelajar pelbagai peringkat untuk berkongsi hasil penyelidikan serta inovasi yang mampu memberi impak kepada masyarakat dan industri.

“Penganjuran CITReX merupakan satu wadah yang sangat bermakna untuk para penyelidik mempamerkan produk inovasi dan penemuan rintis kepada rakan industri dan masyarakat setempat.
“Melihat kepada kluster yang dipertandingkan pada tahun ini seperti peralihan iklim, teknologi sistem pintar, bandar pintar, pengurusan unsur nadir bumi dan sekuriti makanan, ia amat bertepatan dengan cabaran serta kehendak industri masa kini,” ujarnya.
Beliau turut menegaskan bahawa semua kluster penyelidikan tersebut berjaya menterjemahkan peranan ilmu sains dan kejuruteraan dalam kehidupan sekali gus menghidupkan slogan rasmi universiti iaitu Teknologi untuk Masyarakat.
Menurutnya lagi, aspirasi negara menerusi Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035 kini memberi fokus kepada konsep RDICE bertanggungjawab iaitu Research, Development, Innovation, Commercialisation and Economy sebagaimana digariskan di dalam Lonjakan Ke-6 RPTM.
“Setiap inovasi yang dihasilkan tidak seharusnya kekal sebagai bahan kajian semata-mata, sebaliknya perlu diterjemahkan kepada produk yang berpotensi untuk dipasarkan dan dimanfaatkan masyarakat.
“Melalui prinsip RDICE ini, setiap inovasi yang terhasil daripada CITReX tidak seharusnya kekal di atas kertas kajian atau sekadar menjadi bahan pameran di makmal.
“Ia mesti melonjak ke fasa prapengkomersialan supaya dapat menyelesaikan masalah masyarakat serta menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi yang mampan,” katanya.
Beliau turut memuji langkah proaktif UMPSA melalui pelaksanaan Pelan Strategik UMPSA30 yang memberi penekanan kepada Lonjakan TVET Termaju dan Keusahawanan dalam melahirkan bakat serta teknologi baharu untuk memperkukuh industri masa hadapan.
Sepanjang tiga hari penganjuran, CITReX 2026 menghimpunkan sebanyak 285 penyertaan melibatkan kategori staf dan pelajar UMPSA, institusi pengajian tinggi, industri serta sekolah.
Program itu turut melibatkan penjurian oleh 41 juri dalaman dan 25 juri luar yang menilai aspek kreativiti, impak penyelidikan, potensi pengkomersialan dan kebolehgunaan teknologi.
CITReX 2026 juga diperkukuh melalui penganjuran program INNOPINTAR di bawah Pemerkasaan Ilmu dan Teknologi untuk Aspirasi Rakyat (PINTAR) dalam memperluas budaya inovasi dan STEM bermula dari peringkat sekolah.
Majlis menyaksikan projek ‘Green UV-Curable and Self-Healing Lignin-Based Coating Aerosol Paint for Automotive Application’ menang Anugerah Best of the Best iaitu projek hasil penyelidikan Profesor Madya Ts. Dr. Rasidi Roslan, Ts. Dr. Nurjannah Salim, Ts. Dr. Siti Noor Hidayah Mustapha, Profesor Chm Dr. Mohd Hasbi Ab Rahim, Profesor Madya Chm Dr. Izan Izwan Misnon, Nur Izzah Atirah Mat Hussain dan Ts. Nur Aminaton Sufia Yuharmon.

Dalam perkembangan berkaitan, UMPSA terus merekodkan pencapaian memberangsangkan dalam bidang inovasi apabila jumlah produk yang berjaya dikomersialkan meningkat daripada 11 produk pada tahun 2024 kepada 15 produk pada tahun 2025.
Bilangan pendaftaran harta intelek (IP) universiti turut meningkat kepada 93 pada tahun 2025 berbanding 64 pada tahun sebelumnya sekali gus mencerminkan pengukuhan ekosistem penyelidikan dan inovasi universiti.
Mengakhiri ucapan, Dato’ Seri Abdul Razak Jaafar mengucapkan tahniah kepada semua para pemenang dan berharap hubungan kerjasama antara UMPSA, industri, agensi kerajaan dan komuniti akan terus diperkukuh demi memacu kelestarian dan kemakmuran sejagat.
Hadir sama Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Ts. Dr. Aida Mustapha, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Ts. Dr. Mohd Rusllim Mohamed, Pengarah Rakyat Consortium Sdn. Bhd., Dato' Syed Azaudin Syed Ahmad dan Ketua Pegawai Eksekutif UMPSA Holdings, Ts. Mohd Fadzil Mohd Idris.
Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat
- 43 views
Reports by: