Skip to main content

Dron UMP multifungsi teknologi baharu dalam sektor pertanian

PEKAN, 21 Mei 2022 - Sekumpulan penyelidik dari Pusat Reka Bentuk dan Inovasi Teknologi (PRInT), Universiti Malaysia Pahang (UMP) berjaya menghasilkan dron multifungsi menggunakan kepakaran tempatan yang dikenali sebagai ‘Rajawali’ bagi memperluaskan inovasi dan penggunaan teknologi baharu dalam meningkatkan produktiviti sektor pertanian. 

Baru-baru ini telah diadakan sesi jalanan ujian (test run) yang diadakan di kawasan sawah padi sekitar Kampung Serandu bagi melihat sendiri teknologi dron multifungsi ini berfungsi bagi aktiviti penyemburan baja dan racun khususnya untuk kerja-kerja pertanian. 
 
Hadir sama Pengerusi Lembaga Pengarah UMP, Tan Sri Dato' Sri Dr. Abdul Aziz Abdul Rahman,  Pengarah Kanan Pusat Pengurusan Penyelidikan, Profesor ChM. Dr. Mohd Hasbi Ab Rahim, Ketua Penyelidik yang merupakan Pensyarah Kolej Kejuruteraan (KKEJ), Ir. Dr. Noor Zaihah Jamal dengan dibantu pengamal dron, Zek Aman Abd. Ghani serta penyelidik lain. 

Turut serta Ketua Kampung Serandu, Mohd Khairuddin Zakaria. 
 
Menurut Ir. Dr. Noor Zaihah Jamal, dron yang disesuaikan dengan penggunaan ini mempunyai kapasiti tangki sebanyak 30 liter dengan kelajuan semburan air semaksimum 10 liter per minit, manakala kecekapan semburan pula iaitu sebanyak 0.4 ekar per minit.

Dron UMP multifungsi teknologi baharu dalam sektor pertanian

“Ia dapat dikawal pada jarak jauh dengan ketinggian 30 meter dan dengan kelajuan maksimum 10 meter per saat. 
“Bagi kawalan penerbangan pula, ia menggunakan Flight Controller, GPS Sensor & Remote Control. 

“Selain itu, dron ini juga menggunakan bateri dengan kapasiti 4000 mAh dan kelajuan motor 5000 rpm,” ujarnya.
Beliau mengharapkan dron ini dapat meningkatkan kualiti dan pertumbuhan ekonomi bagi masyarakat sekitar.

Sementara itu, Tan Sri Dato' Sri Dr. Abdul Aziz berasa amat teruja dan bersyukur  dapat menyaksikan sendiri dron yang dihasilkan oleh penyelidik UMP dan merealisasikan hasratnya untuk melihat penyelidik UMP sentiasa menghasilkan teknologi terkini.

Beliau merakamkan penghargaan tahniah dan terima kasih kasih kepada semua penyelidik UMP atas kejayaan menghasilkan teknologi untuk dimanfaatkan komuniti setempat ini.

“Sehingga kini, difahamkan seramai lebih 9,000 pelajar telah menyertai program robotik dan dron dalam program Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) yang dilaksanakan oleh pensyarah UMP,” katanya.

Begitu juga komuniti di Pekan termasuk kanak-kanak sehingga peringkat dewasa turut merasai keberadaan UMP sama ada dalam bidang akademik mahupun perkongsian teknologi.

Beliau berharap teknologi ini dapat diperluaskan dan membantu dalam aktiviti pertanian sehingga menghasilkan pengeluaran hasil tanaman secara optimum. 

Ketua Kampung Serandu, Mohd Khairuddin Zakaria, 56, turut berterima kasih dan berbangga dengan pemilihan lokasi Kampung Serandu bagi UMP menjalankan kajian dengan  membawa teknologi dron yang besar dan mendapat manfaat dengan ciptaan sendiri dron multifungsi ini. 

“Tambahan pula, majoriti penduduk di sini merupakan petani yang bergantung kepada pendapatan hasil tani.

“Saya berharap kerjasama ini dapat diteruskan kepada semua penduduk dan berharap jelapang padi Kampung Serandu ini akan lebih terkehadapan dengan sokongan dan teknologi UMP agar ekonomi penduduk kampung ini bertambah maju seiring dengan pembangunan negara,” katanya. 

Disediakan Oleh: Nor Salwana Mohammad Idris, Bahagian Komunikasi Korporat, Jabatan Canseleri 

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri