EASY UMPSA perkasa ilmu kesiapsiagaan gempa bumi bersama komuniti Segamat
SEGAMAT, 8 November 2025 — Pasukan penyelidik Earthquake and Structural Stability (EASY), Fakulti Teknologi Kejuruteraan Awam (FTKA), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terus melangkah ke hadapan dalam usaha memperkasa masyarakat melalui ilmu kesiapsiagaan bencana.
Terbaharu, pasukan EASY tampil berkongsi kepakaran dalam program Kesiapsiagaan CBDRM Gegaran yang berlangsung di Rumah Anak Yatim Islam Daerah Segamat, Johor.
Program ini merupakan inisiatif ketiga EASY bagi tahun 2025, selepas kejayaan program Jelajah Kesedaran dan Kesiapsiagaan Gempa Bumi 2025 di Bentong dan pameran sempena Bulan Kesiapsiagaan Nasional di Jerantut, Pahang.
Program anjuran Pertubuhan Ihsan Johor dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) ini turut mendapat sokongan pelbagai agensi strategik seperti Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Johor, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Social Hero Foundation, Yayasan Kebajikan Suria, Persatuan Pengurusan Bencana Kebangsaan (NADIM), serta Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Islam Segamat (PKAYIS).
Turut membantu menjayakan program ialah wakil daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Pejabat Kesihatan Daerah Segamat.
Program yang berteraskan Community-Based Disaster Risk Management (CBDRM) ini menghimpunkan ketua dan ahli jawatankuasa kampung sekitar DUN Buloh Kasap, Jementah dan Kemelah.
Menariknya, turut hadir sebagai pemerhati ialah Pengarah JMG Perak, Tuan Haji Nizarulikram Abdul Rahim, bersama pegawai pengiring bagi menimba pengalaman untuk pelaksanaan program serupa di negeri Perak.
Sepanjang program, peserta diberi pendedahan mendalam tentang pengurusan risiko bencana, simulasi tindakan semasa dan selepas gempa bumi, serta kepentingan menyediakan Grab Bag sebagai langkah persediaan awal.
Antara modul menarik yang dikendalikan termasuklah ilmu pengurusan risiko bencana, aktiviti imaginasi bencana dan penghasilan peta risiko komuniti, penerangan Arahan NADMA No.1: Mekanisme Pengurusan Bencana Negara, dan hala tuju serta pelan tindakan komuniti setempat.
Ketua pasukan EASY, Ts. Dr. Mohd Irwan Adiyanto turut menyampaikan taklimat umum berkaitan fenomena gempa bumi dan langkah keselamatan yang wajar diambil oleh masyarakat.
Pada penghujung program, sebanyak 15 set poster Infoseismik@Komuniti yang mengandungi maklumat asas dan mudah difahami mengenai gempa bumi telah diserahkan kepada wakil komuniti untuk dipamerkan di lokasi strategik seperti surau, masjid dan balai raya.
Poster yang sama turut disampaikan kepada Pengarah JMG Johor dan Perak, serta wakil Bomba, APM, dan Pejabat Kesihatan Daerah Segamat sebagai bahan pendidikan awam.
Menurut Ts. Dr. Irwan, program seumpama ini amat penting untuk diteruskan secara berkala bagi memastikan masyarakat sentiasa peka dan bersedia menghadapi bencana.
“EASY UMPSA komited untuk memperluas inisiatif kesedaran ini, termasuk di negeri Pahang yang turut berisiko mengalami gegaran seperti di kawasan Janda Baik dan Bukit Tinggi,” ujarnya.
Penyertaan EASY UMPSA dalam program ini bukan sahaja mencerminkan komitmen universiti terhadap pembangunan komuniti berdaya tahan, malah mengukuhkan peranan institusi pendidikan tinggi sebagai pemangkin kesedaran bencana di peringkat akar umbi.
Disediakan Oleh: Ts. Dr. Mohd Irwan Adiyanto, Fakulti Teknologi Kejuruteraan Awam (FTKA)
- 64 views
Reports by: