Medium Cendawan Nanas hasil penyelidikan UMP dilancar
SERDANG, 8 Ogos 2022 - Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) baru-baru ini melancarkan satu produk inovasi berasaskan sisa nanas yang dihasilkan dengan kerjasama penyelidikan UMP yang diketuai oleh Profesor Madya Dr. Aizi Nor Mazila Ramli bersempena Pameran Pertanian, Horticulture dan Agro pelancongan Malaysia (MAHA) yang telah bermula dari 4 hingga 14 Ogos 2022.
Pelancaran disempurnakan oleh Setiausaha Bahagian Kanan (Pengurusan) Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Habshah Ali yang hadir mewakili Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Yang Berhormat Datuk Dr. Nik Muhammad Zawawi Haji Salleh.
Turut sama hadir Ketua Pengarah LPNM, Mohd. Khairuzamri Salleh dan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMP, Profeosr Dr Kamal Zuhairi Zamli.
Kajian ini turut melibatkan dua usahawan, Noor Saiful Amri Suloh dari Saifulam Agro Farm yang bertempat di Pontian Johor dan Ahmad Mokhtar Daud dari Syarikat Pekan Mushroom Resources Sdn. Bhd. bertempat di Pekan Pahang.
Menurut Habshah yang membacakan teks Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, pengurusan sisa pertanian merupakan antara agenda penting di bawah kerajaan melalui MAFI faktor pertimbangan alam sekitar, konsep pengurusan sisa pertanian dan lain-lain.
“Peningkatan sisa tanaman nanas dan potensinya adalah selari dengan status industri nanas pada masa kini.
“Industri nanas negara yang kini kian berkembang pesat terutamanya dalam sektor pengeluaran buah segar akan memberi impak kepada pengurusan sisa tanaman nanas.
“Pada tahun 2021, jumlah keluasan tanaman nanas negara adalah berjumlah 16,200 hektar dengan jumlah pengeluaran sebanyak 525,000 metrik tan.
“Manakala nilai pengeluaran adalah berjumlah RM700 juta,” katanya.
Dalam pada itu, LPNM akan memperkuhkan segmen hiliran nanas yang merangkumi produk makanan dan bukan makanan.
Produk bukan makanan seperti benang serat nanas, kertas nanas, produk makanan ternakan, medium tanaman, produk tekstil dan kraftangan, kosmetik, komposit dan pelbagai lagi mempunyai potensi yang cukup besar untuk dikembangkan.
Penghasilan produk-produk ini mampu memberi nilai tambah kepada industri dan menjana pulangan yang lumayan kepada pengusaha nanas.
Anggaran sisa nanas yang dikeluarkan bagi setiap ekar kawasan tanaman nanas yang mempunyai 17,000 pokok adalah berjumlah 51 tan dengan kiraan 3 kg sisa bagi setiap pokok nanas.
Sementara itu, Profesor Madya Dr. Aizi, berkata, Medium Cendawan Nanas ini mempunyai 60 peratus kandungan sisa nanas kering atau dikenali dengan pinapeat, yang mempunyai fungsi yang sama seperti medium cendawan konvensional habuk kayu getah.
“Melalui kajian ini mendapati sisa kering pokok nanas atau Pinapeat didapati sesuai untuk dijadikan medium tanaman cendawan dan sebagai satu alternatif kepada medium cendawan konvensional sedia ada,” katanya.
Selain itu, pihak LPNM akan terus mempergiatkan lagi kajian penggunaan pinpeat sebagai medium tanaman yang lain seperti penanaman beberapa jenis tanaman di dalam polibeg dan medium bagi fertigasi.
Disediakan Oleh: Mimi Rabita Abd Wahit, Bahagian Komunikasi Korporat, Jabatan Canseleri
- 274 views