Native Bites raih emas CITREx 2026, bukti kehebatan inovator cilik SK Tunku Azizah
PEKAN, 13 Mei 2026 – Projek inovasi Native Bites oleh kumpulan The Bubbles dari Sekolah Kebangsaan Tunku Azizah berjaya mengharumkan nama sekolah apabila meraih pingat emas dalam pertandingan Creation, Innovation, Technology and Research Exposition (CITREx) 2026 yang berlangsung di Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
Kumpulan The Bubbles dibimbing oleh guru penyelia, Nurul Huda Mohd Zahari, 42 bersama lima orang murid Tahun 6 iaitu Aqilah Zahirah Sofea Ahmad Ziad, Alyaa Aqilah Ali Imran, Wan Izzah Eryna Mohd Ezani, Nurul Atikah Aisyah Muhammad Aizuddin, dan Alya Alwany Azahar.
Inovasi Native Bites merupakan produk makanan ikan yang dihasilkan menggunakan bahan organik dan bahan kitar semula seperti sisa ikan, isi kelapa sawit serta kulit lemon bagi menghasilkan makanan ikan yang lebih murah, selamat dan bernutrisi.
Menurut Nurul Huda, idea penghasilan produk tersebut tercetus apabila mereka mendapati kos makanan ikan di pasaran agak tinggi, sekali gus memberi inspirasi kepada pelajar untuk menghasilkan alternatif makanan ikan yang lebih menjimatkan.

“Produk ini bukan sahaja membantu mengurangkan kos makanan ikan, malah dapat menyokong usaha kelestarian alam sekitar menerusi penggunaan bahan terbuang yang masih bernilai,” katanya.
Beliau berkata, projek penyelidikan itu dimulakan pada November 2025 dan berjaya disiapkan sekitar Disember tahun yang sama dengan kerjasama pihak ibu bapa serta sokongan daripada Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses (FTKKP) UMPSA.
Tambahnya lagi, produk berkenaan berpotensi membantu penternak ikan komersial khususnya penternak ikan patin di Pahang dalam mengurangkan kos operasi yang tinggi melibatkan makanan ikan.
Sementara itu, Guru Besar Sekolah Kebangsaan Tunku Azizah, Hajjah Norsalwa Abdul Wahab berkata, kejayaan tersebut membuktikan murid sekolah rendah juga mampu menghasilkan inovasi yang memberi impak kepada masyarakat.
“Terima kasih khususnya kepada pihak UMPSA kerana memberikan peluang kepada peserta cilik untuk berkongsi idea dan inovasi.
“Semoga pertandingan ini menjadi wadah dan pembakar semangat kepada semua pelajar dalam menyediakan pelbagai lagi inovasi yang mampu direalisasikan,” ujarnya.
Sebelum ini, Native Bites turut berjaya meraih Anugerah Perak dalam pertandingan World Youth STEM Invention Innovation 2026 anjuran Malaysia Young Scientists Organisation (MYSO) di Bangkok, Thailand.
Kejayaan itu sekali gus menyerlahkan potensi besar murid sekolah dalam bidang penyelidikan, inovasi dan teknologi seiring usaha UMPSA memperkasa budaya STEM dalam kalangan generasi muda.
Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat
- 56 views
Reports by: