Skip to main content

Pasukan EASY UMPSA jayakan Bulan Kesiapsiagaan Nasional 2025

BENTONG, 12 Oktober 2025 — Menyahut seruan kerajaan dalam memperkukuh kesedaran terhadap kesiapsiagaan bencana, pasukan penyelidik Earthquake and Structural Stability (EASY) dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Awam (FTKA), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) turut serta menjayakan sambutan Bulan Kesiapsiagaan Nasional 2025 yang berlangsung di Padang FA Jerantut baru-baru ini. 

Majlis pelancaran telah dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri Malaysia merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi. 

Turut hadir Menteri Besar Pahang, Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail dan Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Datuk Abdul Halim Hamzah bersama barisan pengurusan tertinggi NADMA.

Pasukan EASY UMPSA jayakan Bulan Kesiapsiagaan Nasional 2025

Pasukan EASY yang diketuai oleh Ts. Dr. Mohd Irwan Adiyanto bersama penyelidik Dr. Nurfarhana Diyana Abdul Hadi, Gs. Dr. Syarifuddin Misbari, dan Dr. Nur Fahriza Mohd Ali telah menarik perhatian ramai melalui reruai pameran bertemakan ‘Kesedaran Bencana Gempa Bumi’ iaitu satu-satunya pameran seumpamanya di acara tersebut. 

Pasukan EASY turut disokong oleh Profesor Madya Dr. Haryati Awang.

Menurut Ts. Dr. Mohd Irwan, antara bahan utama yang dipamerkan ialah poster-poster Infoseismik@Komuniti, yang menyediakan maklumat asas dan mudah difahami mengenai fenomena gempa bumi.

“Ia bertujuan untuk mendidik masyarakat tentang langkah kesiapsiagaan dan keselamatan. 

“Pameran ini memberi pendedahan baharu kepada pengunjung kerana bencana gempa bumi masih dianggap luar biasa di Malaysia berbanding bencana seperti banjir dan tanah runtuh. 

“Turut mencuri tumpuan ialah prototaip ‘Shaking Table’ yang dinamakan EASY Shaker 1, yang mula diperkenalkan buat pertama kalinya kepada umum,” ujarnya. 

Tambah beliau lagi, ia dihasilkan untuk tujuan Pendidikan.

“Model ini mampu mensimulasikan pergerakan bangunan semasa berlakunya gempa bumi dengan gegaran antara skala 4 hingga 5 pada masa ini.

“Keupayaan model tersebut akan terus dipertingkat dari semasa ke semasa dan bakal dimanfaatkan dalam aktiviti pengajaran, pembelajaran dan kesedaran awam berkaitan kejuruteraan seismik.

“Melalui inisiatif seperti ini, kami berharap masyarakat lebih memahami risiko sebenar gempa bumi dan pentingnya membina kesedaran dari peringkat komuniti hingga ke institusi pendidikan,” katanya. 

Penyertaan EASY UMPSA ini mencerminkan komitmen universiti dalam menyokong usaha nasional ke arah masyarakat yang lebih peka, bersedia, dan berdaya tahan terhadap bencana.

Disediakan Oleh: Ts. Dr. Mohd Irwan Adiyanto, Fakulti Teknologi Kejuruteraan Awam (FTKA)

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri