Pensyarah UMPSA menerajui geran LRGS bernilai RM1.4 juta
NILAI, 3 Oktober 2025 - Pensyarah Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Profesor Madya Ts. Dr. Muhammad Aizzat Zakaria daripada Fakulti Teknologi Kejuruteraan Pembuatan dan Mekatronik (FTKPM) berjaya menerima Skim Geran Penyelidikan Jangka Panjang (LRGS) daripada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sebanyak RM 1.4 juta.
Beliau mengetuai projek penyelidikan bertajuk ‘Aeroground: Investigation of Autonomous Aero- Ground Robot for Surveillance and Reconnaissance -Artificial Intelligence Driven Navigation with Secure Edge Computing Integration’ yang turut melibatkan penyelidik daripada Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Profesor Madya Ts Dr. Muhammad Aizzat menerima geran yang disampaikan Menteri Pendidikan Tinggi, Yang Berhormat Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir bersempena dengan Sambutan Hari Akademia dan Bulan Akademia 2025 Peringkat Kebangsaan yang berlangsung di Dewan Tuanku Canselor (DTC), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) hari ini.
Turut hadir Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Ts. Mustapha Sakmud, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi, Datuk Dr. Anesee Ibrahim, Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti USIM, Tan Sri Dr. Nik Norzrul Thani Nik Hassan Thani, Naib Canselor USIM, Profesor Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani, Naib Canselor UMPSA, Profesor Dr. Yatimah Alias dan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMPSA, Profesor Dato’ Ir. Ts. Dr. Ahmad Ziad Sulaiman.
Menurut Profesor Dr. Yatimah, kejayaan ini bukan sahaja mencerminkan kecemerlangan dalam penyelidikan namun mencetus suntikan semangat buat warga akademik untuk menyumbang kepakaran terhadap pembangunan negara.
“Skim LRGS ini berupaya mempromosi kecemerlangan dalam penyelidikan yang mengembangkan sempadan ilmu, terutama dalam bidang-bidang fokus yang telah dikenal pasti selain membina kerjasama keserakanan merentasi pelbagai institusi dan bersifat multi disiplin dan mampu diterjemahkan (translational) kepada keberhasilan yang boleh dimanfaatkan oleh pemegang taruh.
“UMPSA sebagai sebuah universiti Rangkaian Universiti-universiti Teknikal Malaysia (MTUN) akan sentiasa bergerak ke hadapan dalam menghasilkan penyelidikan berimpak tinggi, membimbing penyelidik muda serta menjalin kerjasama strategik dengan industri dan agensi kerajaan bagi menyelesaikan cabaran negara dan global,” katanya.
Beliau juga turut merakamkan penghargaan tahniah kepada semua penyelidik dan akademia UMPSA atas segala sumbangan, pencapaian dan pengorbanan para pensyarah dalam mengharunkan nama UMPSA di persada dunia.
Dalam pada masa yang sama, seramai 100 orang staf akademik UMPSA turut berkumpul di Dewan Bankuet Canseleri Tun Abdul Razak untuk menyaksikan siaran langsung majlis ini yang turut disiarkan secara dalam talian.
Bertemakan ‘Integrasi Kecerdasan Buatan (AI) dalam Pendidikan Tinggi’, sambutan tahun ini mengetengahkan peranan teknologi kecerdasan buatan dalam memacu Agenda Pendidikan Negara ke arah yang lebih mampan dan berdaya saing di peringkat global.
Acara kemuncak menyaksikan pelancaran Blueprint Kecerdasan Buatan (AI) Syariah USIM dan AWS AI Talent Development for Higher Education Programme.
Turut diadakan ialah penyampaian Dana Fundamental Tahun 2025 dan Dana Higher Institution Centres of Excellence (HICoE) Tahun 2025 kepada para penerima.
Hari Akademia disambut pada 5 Oktober setiap tahun bagi menghargai jasa dan sumbangan para ajli akademik di institusi pendidikan tinggi Malaysia dalam memartabatkan ilmu dan mendidik modal insan berkualiti.
Disediakan oleh: Wallid Wahidi Hamzah, Pusat Komunikasi Korporat
- 208 views