Skip to main content

Ts. Dr. Nasrul Hadi hasilkan Protective Bandana (Pro-B) mengurangkan risiko kecederaan kepada pemain sepak takraw

PEKAN, 4 September 2023 - Sepak Takraw adalah antara sukan yang berpotensi membawa pingat kemenangan kepada Malaysia, namun hanya dipertandingkan sehingga ke peringkat Sukan Asia sahaja. 

Walaupun sudah mula dipertandingkan secara profesional sekitar tahun 1960, pembangunan teknologi sukan sepak takraw yang dilihat kurang berkembang dengan baik adalah menjadi salah satu faktor sukan ini belum berjaya dipertandingkan dalam Sukan Olimpik. 

Antaranya adalah teknologi peralatan sewaktu latihan, teknologi bola takraw itu sendiri, pemakaian pemain yang lebih sesuai, dan keselamatan pemain sepak takraw.

Bertitik-tolak daripada itu, Pengarah Pusat Teknologi Industri Termaju, Jabatan Penyelidikan & Inovasi yang juga merupakan Pensyarah Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Automotif (FTKMA), Ts. Dr. Nasrul Hadi Johari, 38 telah menghasilkan Protective Bandana (Pro-B) yang hanya perlu dipakai oleh pemain sepak takraw mengikut kesesuaian dan keselesaan yang akan dapat mengurangkan sekurang-kurangnya 50 peratus kesan hentakan hasil tandukan bola takraw. 

Idea pembangunan Pro-B adalah hasil inisiatif bersama ahli kumpulan Human Engineering Group yang berpangkalan di FTKMA iaitu Dr. Mohd Hasnun Arif Hassan, Nik Haikal M. Hassan dan Dr. Zulkifli Ahmad@Manap.

Ts. Dr. Nasrul Hadi hasilkan Protective Bandana (Pro-B) mengurangkan risiko kecederaan kepada pemain sepak takraw

Menurut Ts. Dr. Nasrul Hadi, untuk sepak takraw dipertandingkan pada peringkat antarabangsa seperti dalam Sukan Olimpik, sukan ini perlu dipertandingkan di sekurang-kurangnya 75 buah negara yang merangkumi ke empat buah benua di dunia. 

“Sepak takraw menggunakan kaki dan kepala sebagai komponen utama dalam permainan, namun, dengan sifat bola takraw yang keras walaupun kenyal dan selalu dipukul dengan kelajuan yang tinggi melebihi 50 km/j, menanduk bola takraw menggunakan bahagian dahi kepala adalah sangat menyakitkan dan berbahaya. 

“Apatah lagi dalam latihan intensif, pemain-pemain takraw biasanya akan menanduk bola takraw beratus kali untuk meningkatkan kemahiran mengawal bola. 

“Kesakitan menanduk bola yang berpanjangan boleh menjurus kepada kecederaan pada kepala pemain termasuklah berisiko untuk mencederakan bahagian otak,” ujarnya.

Tambah beliau lagi, perkara sebegini perlu diberi perhatian dan kami mengambil inisiatif untuk memberi fokus kepada kaedah mengurangkan risiko kecederaan pada kepala pemain iaitu dengan menyediakan pelapik yang boleh dipakai terus pada kepala yang dapat mengurangkan kesan hantukkan atau tandukan bola. 
 
“Pembangunan Pro-B ini sebenarnya telah bermula seawal tahun 2013 tetapi terhenti selama beberapa tahun kerana beliau menyambung pengajian Doktor Falsafah (PhD) dan disambung kembali pada tahun 2019 dengan sokongan daripada UMPSA sendiri iaitu melalui geran produk penyelidikan (PDU), sebelum siap sepenuhnya pada awal tahun 2021. 

“Pro-B akan berada di pasaran dengan harga RM45 satu set.

“Kami berharap Pro-B ini dapat mengurangkan risiko kecederaan pada kepala pemain termasuklah kepada kanak-kanak atau mereka yang baharu mula bermain sepak takraw,“ katanya. 

Ini sekali gus katanta, dapat mempromosikan sukan takraw untuk dipertandingkan di negara-negara yang masih asing dengan sukan ini. 

“Justeru, dapat membantu sukan sepak takraw dipertandingkan pada peringkat antarabangsa iaitu dalam Sukan Komanwel dan Olimpik dan mengembangkan lagi industri berkaitan sukan ini di Malaysia. 

“Selain Pro-B, kami dalam proses menyiapkan Takraw Ball Launcher atau alat pelancar bola takraw yang bakal digunakan dalam sesi latihan sepak takraw. 

“Alat ini bakal membantu meningkatkan lagi prestasi pemain dan sudah pastinya meningkatkan lagi teknologi sukan ini,“ katanya.

Tambah beliau lagi, setakat ini, kami dalam proses bekerjasama dengan beberapa pihak iaitu Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Pahang, pasukan Sepak Takraw Negeri Pahang dan persatuan-persatuan takraw yang terdekat untuk dibekalkan set Pro-B ini. 

“Mereka akan menggunakannya dalam sesi latihan termasuklah dalam kejohanan. 

“Kanak-kanak sekolah sudah pasti akan menyukai Pro-B ini dan akan lebih berminat dengan sukan Sepak Takraw yang sekali gus mereka akan mempromosikan sukan ini lebih meluas apabila mereka dewasa kelak,” katanya. 

Penyelidikan ini meraih pingat emas dalam Pertandingan Reka Cipta, Kreatif dan Inovasi (CITREX) 2022.

Pada Pameran Reka Cipta, Inovasi dan Teknologi Antarabangsa (ITEX) 2022 yang berlangsung di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) pada 26 dan 27 Mei 2022, penyelidikan ini turut meraih pingat emas.

Disediakan oleh: Nur Hartini Mohd Hatta, Pusat Komunikasi Korporat

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Nur Hartini binti Mohd Hatta