Skip to main content

UMPSA pacu pembangunan bakat pembinaan digital antarabangsa

PEKAN, 3 Julai 2026 – Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terus memperkukuh kedudukannya sebagai peneraju pembangunan bakat berkemahiran tinggi apabila menjadi tuan rumah kepada Program Pemindahan Kemahiran dan Perkongsian Pengetahuan melibatkan Delegasi WorldSkills Germany Digital Construction di BIM Centre UMPSA, selaku pengendali WorldSkills Malaysia Centre of Excellence (CoE) for Digital Construction.

Program ini merupakan satu daripada inisiatif strategik negara dalam memperkasakan persediaan Malaysia ke pertandingan WorldSkills Shanghai 2026, sekali gus memperkukuh kecemerlangan teknikal, penandaarasan antarabangsa dan kolaborasi global dalam bidang Digital Construction (Skill 58).

Lebih signifikan, lawatan itu melibatkan pasukan Jerman yang muncul juara kategori Digital Construction pada WorldSkills Lyon 2024 menerusi pemenang pingat emas, Yves Joël Gottmann. 

Penglibatan mereka membuka ruang kepada perkongsian kepakaran bertaraf dunia yang mampu memperkasakan pembangunan kompetensi peserta dan tenaga pengajar Malaysia.

Delegasi Jerman diketuai oleh Pakar Kebangsaan, Dill M. Khan bersama dua peserta WorldSkills Germany, Max Weber dan Chiara Lammenett.

UMPSA pacu pembangunan bakat pembinaan digital antarabangsa

Sepanjang program berlangsung, pelbagai sesi perkongsian telah diadakan meliputi strategi persediaan pertandingan, metodologi latihan, penandaarasan teknikal serta amalan terbaik antarabangsa yang menjadi asas kepada kecemerlangan WorldSkills.

Malaysia pula diwakili oleh Dr. Siti Mahfudzah Ashahril daripada Bahagian Dasar dan Antarabangsa, Kementerian Kerja Raya (KKR), Pengarah WorldSkills Malaysia Centre of Excellence (CoE) for Digital Construction, Profesor Madya Dr. Ahmad Tarmizi Haron, Jurulatih Kebangsaan Ts. Dr. Zahrizan Zakaria serta peserta kebangsaan Malaysia bagi WorldSkills Shanghai 2026, Muhamad Nashrul.

Turut hadir ialah wakil UMPSA, Pengarah Pusat Perundingan dan Pengkomersialan, Profesor Madya Dr. Saiful Anwar Che Ghani, pensyarah Fakulti Teknologi Kejuruteraan Awam (FTKA), Ts. Mohammad Amirulkhairi Zubir dan Eksekutif Kanan, Jabatan Penyelidikan dan Inovasi, Hardyana Mohd. Saman.

Menurut Pengarah Pusat Inovasi dan Pangkalan Ilmu Pemodelan Maklumat Bangunan, Profesor Madya Dr. Ahmad Tarmizi Haron, WorldSkills bukan sekadar medan pertandingan kemahiran, malah menjadi platform strategik dalam membangunkan ekosistem kemahiran negara yang mampan.

"WorldSkills adalah lebih daripada sekadar menyediakan peserta untuk pertandingan antarabangsa. 

“Ia membangunkan ekosistem yang mampan, di mana perkongsian ilmu, inovasi, kolaborasi industri dan kemahiran teknikal bernilai tinggi menjadi pemacu kepada daya saing negara.

“Melalui kerjasama antarabangsa seperti ini, kita bukan sahaja melahirkan bakat yang bersedia menghadapi masa hadapan, malah meletakkan Malaysia sebagai peneraju serantau dalam bidang pembinaan digital,” ujarnya. 

Beliau berkata, kerjasama rentas negara itu turut memperkukuh usaha melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang memenuhi keperluan industri pembinaan digital global, di samping memperluas peluang pemindahan teknologi, inovasi serta pembangunan modal insan antara kedua-dua negara. 

Dalam menjayakan inisiatif ini, UMPSA turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Kerja Raya Malaysia (KKR), Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), CIDB Digital Sdn. Bhd., BIMAge Consulting (M) Sdn. Bhd. dan UMPSA Holdings Sdn. Bhd. atas sokongan berterusan dalam memperkukuh ekosistem pembinaan digital negara.

Sebagai universiti yang menerajui pendidikan TVET dan teknologi, UMPSA sentiasa komited memperluas jaringan kerjasama strategik bersama agensi kerajaan, industri serta institusi antarabangsa bagi memperkasakan pembangunan bakat masa hadapan yang mampu memenuhi keperluan Revolusi Perindustrian 4.0 dan transformasi digital sektor pembinaan.

Kolaborasi ini bukan sahaja menjadi medan perkongsian ilmu dan pengalaman, malah membuktikan komitmen bersama dalam membangunkan Skills Economy yang menjadikan kemahiran teknikal bernilai tinggi sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi, peningkatan produktiviti industri, mobiliti bakat dan daya saing negara.

Melangkaui sasaran untuk mencapai kecemerlangan di WorldSkills Shanghai 2026, kerjasama strategik ini turut memperlihatkan kesungguhan UMPSA dalam memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab pembangunan bakat pembinaan digital di rantau ini, sekali gus menyumbang kepada pembentukan ekosistem industri binaan masa hadapan yang lebih mampan, inovatif dan berdaya saing di peringkat global.

Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri