Skip to main content

Mesra Golf UMPSA bersama agensi dan industri erat hubungan

KUANTAN, 29 Oktober 2023 - Seramai 80 orang mengambil bahagian dalam program Mesra Golf UMPSA Bersama Industri bersempena penjenamaan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dan Ulang Tahun UMPSA Ke-21 yang berlangsung di Kelab Golf Diraja Pahang baru-baru ini. 

Turut sama mengambil bahagian, Pro-Canselor UMPSA, Tan Sri Dato’ Sri Abi Musa Asa’ari  Mohamed Nor, Ahli Lembaga Pemegang Amanah, Yayasan UMP, Dato’ Ts. Izwan Hasli Mohd Ibrahim, Dato’ Sri Ahmad Fuaad Mohammed Kenali dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), Dato’ Ahmad Hairi Haji Hussain.

Manakala yang mewakili industri, pula ialah dari Federation of Malaysian Manufacturers (FMM), Dato’ Stanley Goh dan Ketua Pegawai Eksekutif TGA Solution, Dato’ Amiruddin Mohd Said.

Mesra Golf UMPSA bersama agensi dan industri erat hubungan

Hadir sama Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa), Profesor Ir. Ts. Dr. Ahmad Ziad Sulaiman, Pendaftar UMPSA, Dato’ Saiful Bahri Ahmad Bakarim,  Bendahari, Dato’ Zainuddin Othman dan Penolong Naib Canselor, Pusat Jaringan Industri dan Masyarakat (PJIM), Profesor Datin Ts. Dr. Mimi Sakinah Abdul Munaim.

Program yang dianjurkan Pusat Jaringan Industri dan Masyarakat, Pusat Sukan dan Kebudayaan dan Kelab Golf UMPSA  dengan sokongan pihak Gebeng Industrial Support Group (GISG) itu diadakan bertujuan  untuk mengeratkan hubungan antara kepimpinan universiti bersama industri dan agensi. 

Mesra Golf UMPSA bersama agensi dan industri erat hubungan

Berucap dalam majlis ketika meraikan para pemain, Profesor Ir. Ts. Dr. Ahmad Ziad berkata, golf merupakan sukan yang istimewa kerana ia menjadi ruang dan peluang untuk UMPSA mendapatkan input berguna daripada universiti bagi tujuan perancangan masa hadapan.

“Pertemuan ini memberi peluang UMPSA berkongsi perkembangan universiti, kebolehpasaran pelajar UMPSA yang mencapai 98.67 peratus dan hubungan baik dengan industri ini pastinya akan memberi manfaat buat pelajar. 

“Program  ini juga diadakan bertujuan untuk mengeratkan lagi hubungan di antara pengurusan tertinggi UMPSA secara amnya dengan industri dan agensi sekitar Pantai Timur. 

“Jalinan kerjasama yang terjalin menerusi  sukan golf ini penting dan besar maknanya buat UMPSA bagi  berkolaborasi dengan agensi dan Industri yang hadir dalam program ini pada masa akan datang,” ujarnya yang hadir mewakili Naib Canselor UMPSA, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin. 

Selain itu, dengan adanya penganjuran tersebut ia mampu memperkukuhkan lagi jalinan silaturahim. 

Menurutnya lagi, penganjuran ini membentuk lebih banyak jaringan dalam kalangan pemain untuk berkongsi pendapat dan kepakaran masing-masing. 

Beliau juga berharap agar program ini akan diteruskan lagi pada masa akan datang demi memperkukuhkan lagi hubungan dan rangkaian antara semua industri dan agensi. 

Program menyaksikan Mohamed Kawi Nong diumum pemenang tempat pertama diikuti Kamarul Zaman Haji N Alassan di tempat kedua dan Faizal Foad di tempat ketiga. 

Bertepatan dengan visi universiti ke arah sebuah universiti teknologi terunggul, penjenamaan ini akan merealisasikan aspirasi kecemerlangan yang dicapai menerusi pemerkasaan akademik dan hasil penyelidikan berimpak serta menghasilkan graduan cemerlang untuk menjadi modal insan berkualiti dalam memacu pembangunan negara yang cemerlang. 

Penjenamaan UMPSA juga akan membina keterlihatan (visibility) reputasi dan keupayaan universiti seiring dengan perkembangan serta pencapaian universiti pada usia ke-21 pada tahun ini. 

Pastinya penjenamaan UMPSA ini akan terus melestari kegemilangan universiti ke arah universiti teknologi terunggul di persada dunia.

Disediakan oleh: Mimi Rabita Haji Abdul Wahit, Pusat Komunikasi Korporat 

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Mimi Rabita binti Abd Wahit