SUKFAC 2025 Membuka Tirai Dengan Semangat Kesukanan dan Perpaduan
GAMBANG, 15 November 2025 - Kejohanan Sukan Antara Fakulti (SUKFAC) 2025 Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) membuka tirainya dengan penuh meriah di Kompleks Sukan Universiti UMPSA Kampus Gambang.
Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Penolong Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UMPSA, Profesor Madya Dr. Mohd Nizam Mohamad Kahar.
Dalam ucapannya, beliau menzahirkan rasa kesyukuran kerana warga universiti diberi ruang, kekuatan dan kesihatan untuk berhimpun dalam acara sukan tahunan yang sentiasa dinantikan itu.
"Keterujaan para atlet jelas terserlah melalui semangat mereka yang bakal berentap merebut 20 pingat emas yang ditawarkan.
"Kejohanan ini bukan sekadar pertandingan, sebaliknya medan penyatuan warga kampus melalui semangat kesukanan, perpaduan dan kekuatan mental serta fizikal.

"Melalui temasya seperti ini, hubungan antara pelajar, staf dan komuniti universiti dapat dieratkan, sejajar dengan identiti UMPSA sebagai institusi yang bukan sahaja menekankan kecemerlangan akademik tetapi turut memberi tumpuan kepada pembangunan sahsiah, kerjasama dan kepimpinan mahasiswa," ujarnya.
Beliau turut menyatakan penghargaan kepada pelajar UMPSA yang mengisi masa lapang dengan aktiviti sihat dan berfaedah yang mampu melahirkan graduan berketerampilan, selari dengan elemen 'Agile' dan 'Dynamic' dalam Model Pembangunan Jati Diri A.D.A.B.
"Kemenangan bukan matlamat utama, sebaliknya usaha bersungguh-sungguh, komitmen tinggi dan semangat hormat-menghormati adalah nilai penting yang harus dijadikan pegangan sepanjang kejohanan.
"Saya turut mendoakan agar semua atlet mempamerkan prestasi terbaik, mencatat pencapaian baharu serta memperoleh pengalaman bernilai yang mampu membentuk kematangan diri.
"Tahniah juga kepada jawatankuasa penganjur, para sukarelawan dan pihak pengurusan universiti atas usaha gigih menjayakan SUKFAC 2025 kerana kejayaan temasya besar seperti ini tidak mungkin dicapai tanpa sokongan semua pihak," katanya.
Majlis perasmian turut diserikan dengan perarakan masuk bendera yang diketuai oleh Pegawai Kader PALAPES Udara UMPSA dari Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FIST), Tahun 2, Sarjan Muhammad Ameer Che Murad.
Pembacaan ikrar kejohanan disempurnakan oleh pemenang pingat emas AUSC International University Bowling Open Championship dari FIST, Mohammad Ammar Qayyum Mohd Khairi.
Turut memeriahkan majlis ialah persembahan Aerodance oleh kumpulan Aerodance BWolf serta persembahan nyanyian lagu 'What’s Up' oleh 4 Non Blondes yang dibawakan oleh pelajar tahun dua Fakulti Pengurusan Industri (FPI), Sofea Alissa Mohd Zamri.
SUKFAC 2025 akan memulakan pertandingan bermula 15 November, melibatkan 14 acara sukan dengan penyertaan sembilan fakulti.
Antara sukan yang dipertandingkan termasuk Petanque, Boling Padang, Badminton, Sepak Takraw, Bola Tampar, Ragbi, Catur, Tenpin Bowling dan beberapa acara lain yang menjadi platform utama Pusat Sukan UMPSA mencungkil bakat baharu.
Disediakan Oleh: Nur Hartini Mohd Hatta, Pusat Komunikasi Korporat.
- 20 views
Reports by: