UMPSA rai kejayaan atlet MASUM dan AUG 2024
PEKAN, 19 Jun 2024 – Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) meraikan kejayaan atlet dan pegawai yang terpilih mewakili kontinjen Malaysia ke Sukan Universiti ASEAN (AUG) di samping atlet-atlet yang cemerlang meraih pingat dalam Karvival Sukan MASUM 2024 baru-baru ini.
Majlis penghargaan itu iadakan pada Sesi Ramah Mesra Naib Canselor UMPSA Bersama Atlet MASUM & AUG 2024 di Dewan Bankuet, Canseleri Tun Razak, UMPSA Pekan.
Hadir mewakili Naib Canselor UMPSA, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Ts. Dr. Mohd Rusllim Mohamed.
Turut hadir Pengurus Besar Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Haryani Abdullah dan Pengarah Pusat Sukan dan Kebudayaan, Mohd Aznorizamin Haji Ismail.
Profesor Ts. Dr. Mohd Rusllim berkata, kejayaan dalam sukan adalah elemen penting dalam pembangunan holistik pelajar.
“Saya sangat berbangga melihat para pelajar UMPSA bukan sahaja berjaya dalam bidang akademik tetapi juga menunjukkan prestasi yang luar biasa dalam sukan hingga ke peringkat antarabangsa.
“Motivasi atlet berada dalam keadaan yang terbaik dan kita juga yakin selepas melihat persiapan yang dilakukan oleh semua atlet kita.
“Kita harapkan segala persiapan yang dilakukan dapat membuahkan hasil dan tugas kita sekarang adalah untuk memberikan segala sokongan kepada mereka agar dapat mempamerkan prestasi terbaik di Surabaya nanti,” katanya.
Seramai empat orang atlet UMPSA telah terpilih mewakili Malaysia ke Sukan Universiti ASEAN (AUG) yang akan berlangsung di Surabaya Malang, Indonesia bermula 25 Jun hingga 6 Julai 2024.
Pelajar UMPSA iaitu Syahmi Haziq Hishamuddin, Muhammad Faiz Abdul Rahman dan Thye You Hei terpilih mewakili negara melalui acara Bola Baling Lelaki manakala Muhammad Nazrisham Yassim menerusi acara Pencak Silat.
Turut terpilih Pegawai Belia dan Sukan Kanan, Nur Adam Maximillian sebagai Pengurus pasukan Bola Baling.
Selain itu, majlis turut meraikan atlet yang cemerlang dalam Karnival Sukan MASUM dan Varsity Track & Field (VTF).
Seramai 11 orang pemenang pingat dari sukan Pencak Silat dan Tae kwan do diberi penghargaan melalui pelbagai warna pingat yang dimenangi di Karnival Sukan MASUM 2024.
Turut tersenarai atlet olahraga kebangsaan, Nurul Ashikin Hussin.
Disediakan Oleh: Mohd Farid Md Ali, Pusat Sukan & Kebudayaan dan Siti Nur Azwin Zulkapri, Pusat Komunikasi Korporat
- 98 views