127 pelatih angkat sumpah sebagai anggota Kor SUKSIS UMPSA
GAMBANG, 14 Januari 2024 – Seramai 127 orang pelatih Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) telah melaksanakan angkat sumpah dan ikrar taat setia sebagai anggota Kor Sukarelawan Polis Siswa Siswi (SUKSIS).
Majlis turut disaksikan oleh Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Pahang, SAC Dato’ Mohamad Noor Yusof Ali dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Ts. Dr. Mohd Rusllim Mohamed yang mewakili Naib Canselor UMPSA yang juga merangkap Komandan Kor SUKSIS.
Turut sama dalam majlis adalah Pengarah Akademi Adab UMPSA, Profesor Madya Dr. Mohd Nizam Mohamad Kahar, Pegawai Turus Koordinasi Sumber Sokongan JPJKK IPK Pahang, Supt. Sahimi Husin dan Pensyarah Kanan UiTM Kampus Jengka, Mohd Ikhsan Md Raus.
Profesor Ts. Dr. Mohd Rusllim ketika berucap dalam majlis itu merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada kesemua pelatih yang telah berjaya terpilih bagi menjalani latihan.
Ujarnya, kesemua pelatih akan diterapkan dengan pembelajaran yang berpandukan modul latihan serta kemahiran insaniah yang tinggi.
“Kesemua pelatih ini akan menjalani latihan selama enam semester bagi memastikan calon berpengetahuan luas dalam aspek kepolisan sekali gus berupaya melayakkan calon terpilih menjadi Pegawai Polis Diraja Malaysia,” tambahnya.
Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada PDRM dan Akademi Adab atas komitmen cemerlang dalam membantu universiti merealisasikan agenda pembangunan siswa siswi secara terarah dalam program ini.
Majlis ini juga menjadi medan pertemuan anggota Kor SUKSIS UMPSA bersama Ketua JPJKK, Ibu Pejabat Kontinjen Pahang, SAC Dato’ Mohamad Noor Yusof Ali.
Beliau turut berkesempatan menyampaikan nasihat dan sokongan kepada para pelatih agar dapat menggalas tanggungjawab yang dipikul dengan penuh disiplin dan integriti.
Sehingga kini, seramai 850 orang alumni pegawai Inspektor Kor SUKSIS telah berjaya dilahirkan sejak penubuhan Kor SUKSIS UMPSA pada Ogos 2007.
Disediakan Oleh: Nur Ainaa Adhreena Muhamad Shukri, Pusat Komunikasi Korporat,
- 110 views