200 Sukarelawan Yayasan UMPSA sertai Heroes Team Building 9.0 dan 9.1 2025
MARANG, TERENGGANU, 22 November 2025 – Gabungan antara program Heroes Team Building 9.0 yang diadakan pada 22 hingga 24 November di Kuala Terengganu dan Heroes Team Building 9.1 yang diadakan pada 30 November di Gambang membuktikan bahawa seramai 200 Sukarelawan Yayasan UMPSA terus mengukuhkan semangat kerjasama dan semangat kekitaan melalui penglibatan dalam pelbagai aktiviti yang penuh dengan cabaran fizikal dan mental.
Pada sesi kali ini, tumpuan program Heroes Team Building telah dilaksanakan sebanyak dua siri memandangkan jumlah sukarelawan aktif yang berdaftar di bawah Kelab Sukarelawan Yayasan UMPSA adalah sangat memberangsangkan.
Antara aktiviti yang menguji tahap fizikal dan mental secara individu yang dilaksanakan pada Heroes Team Building 9.0 termasuklah Kampung Adventure, Abseiling, Jungle Trekking, Kembara Halangan dan Water Confident yang berupaya membina keberanian, keyakinan diri serta daya tahan mental dalam kalangan peserta.

Menurut Pengurus Projek, Heroes Team Building 9.0, Muhammad Rusydi Hakim Razak, program ini memberi impak yang besar kepada semua Sukarelawan Yayasan UMPSA dalam mengukuhkan aspek kepimpinan sukarelawan Yayasan UMPSA dalam mengurus kerja berpasukan dan menggalas tanggungjawab sebagai sukarelawan.
“Aktiviti individu ini secara tidak langsung melatih tahap disiplin, ketahanan fizikal dan pengurusan diri peserta serta pendedahan sebenar kepada peserta untuk keluar dari zon selesa mereka.
“Aktiviti yang menguji tahap fizikal dan mental secara berkumpulan pula termasuklah Night Explorace, Basic Survival, Malam Kebudayaan, Berkayak dan Team Building Race yang mana ia dapat memperkukuhkan semangat kebersamaan serta kerjasama berpasukan.
“Aktiviti berkumpulan yang disediakan oleh pengurusan Kem Tertak Batu ini amatlah bersesuaian dengan objektif program memandangkan persekitarannya yang kondusif serta fasiliti yang menyokong aktiviti pembelajaran luar bilik darjah,” ujarnya.
Tambahnya, aspek ini secara langsung menyokong SDG3, Kesihatan dan Kesejahteraan yang Baik dalam pembentukan fizikal dan mental yang seimbang serta SDG10 iaitu Mengurangkan Ketidaksamaan melalui penglibatan sukarelawan daripada pelbagai latar belakang.
Program Heroes Team Building 9.1 pula menyambung kesinambungan inisiatif ini dengan pelaksanaannya diadakan di UMPSA Kampus Gambang.
Kesinambungan ini memberi peluang kepada lebih ramai sukarelawan untuk terlibat secara langsung dalam aktiviti pembangunan sahsiah dan kepimpinan.
Antara aktiviti yang dilaksanakan termasuklah Santai Sukaneka, Indoor Explorace, Bazar Karat, Menara Tertinggi dan Malam Kebudayaan.
Aktiviti ini menyokong pembangunan kemahiran insaniah, kreativiti serta kerjasama dalam kalangan sukarelawan.
Menurut Pengurus Projek Heroes Team Building 9.1, Nur Muhammad Fadhli Ahmad Nazri. walaupun dilaksanakan di UMPSA Kampus Gambang, program ini tetap menjadi lambang kesatuan buat semua sukarelawan Yayasan UMPSA yang terlibat dalam menjayakan penganjuran ini.
“Penyusunan aktiviti ini amatlah memberi impak kepada semua peserta dan menyokong kepada aspek kesatuan sesama ahli,” katanya.
Penganjuran Heroes Team Building 9.0 dan 9.1 ini bukan sahaja memperkukuh kebersatuan dalam kalangan sukarelawan, malah turut menyuntik semangat kebersamaan serta meningkatkan kesedaran terhadap peranan dan tanggungjawab mereka sebagai sukarelawan Yayasan UMPSA.
Diharapkan program latihan pembangunan sukarelawan Yayasan UMPSA seperti ini dapat memberi manfaat yang berterusan kepada semua sukarelawan pada masa akan datang dalam menyokong pembangunan komuniti serta aktiviti kesukarelawanan yang lebih mampan.
Disediakan Oleh: Muhammad Rusydi Hakim Razak, Sukarelawan Yayasan UMPSA
- 18 views
Reports by: