Skip to main content

3 Leftenan Muda PASKAM UMPSA terima Anugerah Kadet Terbaik Siri 1/2023

GAMBANG, 9 Ogos 2025 – Tiga Leftenan Muda Pasukan Kadet Maritim (PASKAM) Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) mencatat sejarah peribadi apabila dinobatkan sebagai penerima Anugerah Kadet Terbaik PASKAM Siri 1/2023 pada Majlis Tamat Latihan dan Pemakaian Pangkat Leftenan Muda PASKAM UMPSA yang berlangsung di Dewan Astaka, Kampus Gambang baru-baru ini.

Penghormatan tertinggi itu disampaikan oleh Pengarah Maritim Negeri Pahang, Laksamana Pertama (Maritim) Haji Mazlan Mat Rejab, dengan diiringi Naib Canselor UMPSA, Profesor Dr. Yatimah Alias. 

Turut hadir pegawai kanan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), barisan pengurusan universiti, ibu bapa dan keluarga para kadet.

Penerima Anugerah Kadet Terbaik Keseluruhan ialah Leftenan Muda PASKAM Nurwaldan Wasiq Khairul Nizar, 23, dari Georgetown, Pulau Pinang yang kini mengikuti pengajian Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal dengan Kepujian di Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Automotif (FTKMA). 

3 Leftenan Muda PASKAM UMPSA terima Anugerah Kadet Terbaik

Timbalan Presiden PASKAM Siri 1/2023 itu diiktiraf atas kecemerlangan menyeluruh dalam aspek kepimpinan, disiplin, akademik dan sahsiah.

Menurut Nurwaldan Wasiq, sejak awal lagi beliau tertarik dengan dunia maritim dan cabaran yang memerlukan disiplin tinggi. 

"PASKAM menjadi medan terbaik untuk menguji diri dan berbakti kepada keselamatan negara. 

"Latihan ini sebagai proses membentuk keyakinan, daya tahan dan kemahiran kepimpinan,” ujarnya.

Beliau turut berpesan kepada mahasiswa agar berani mencabar diri dan keluar daripada zon selesa.

Katanya, jika mahu pengalaman yang akan mengubah hidup, sertailah PASKAM.

"Cabar diri anda, keluar dari zon selesa, 

"Anda akan temui versi diri yang lebih kuat dan berdaya tahan,“ tambahnya.

Manakala bagi Leftenan Muda PASKAM Muhammad Amirul Hakim Bizun, 24, dari Masai, Johor yang menuntut dalam jurusan Sarjana Muda Teknologi Penyelenggaraan Fasiliti Minyak dan Gas dengan Kepujian di Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses (FTKKP), beliau diumumkan sebagai penerima Anugerah Kadet Terbaik Latihan Luar. 

3 Leftenan Muda PASKAM UMPSA terima Anugerah Kadet Terbaik

Bendahari PASKAM Siri 1/2023 ini menyerlah melalui ketahanan fizikal dan mental yang tinggi serta komitmen penuh dalam latihan lapangan. 

Ujarnya, beliau sangat menghargai bimbingan yang diberikan oleh tenaga pengajar sepanjang tempoh latihan terutama kepada skuadnya yang sentiasa bekerjasama dalam menjalani latihan luar yang agak mencabar. 

Kategori Anugerah Kadet Terbaik Akademik pula menjadi milik Leftenan Muda PASKAM Eeswarri a/p Mani Wanan, 24, dari Kajang, Selangor yang mengikuti pengajian Sarjana Muda Pengurusan Projek dengan Kepujian di Fakulti Pengurusan Industri (FPI).

3 Leftenan Muda PASKAM UMPSA terima Anugerah Kadet Terbaik

Ujar Eeswarri, beliau mula tertarik menyertai PASKAM kerana minat terhadap aktiviti beruniform dan cabaran lasak. 

"Sepanjang latihan, saya belajar meningkatkan disiplin diri, kerjasama dalam pasukan dan pengurusan masa yang berkesan. 

"Pengiktirafan ini menjadi bukti segala usaha akhirnya membuahkan hasil dan membakar semangat saya untuk terus membanggakan keluarga,” jelasnya.

Majlis ini membawa makna tersendiri kerana ia merupakan kali pertama diadakan sejak penubuhan PASKAM UMPSA pada 17 Ogos 2023, sekali gus menjadi simbol permulaan perjalanan khidmat dan kepimpinan anak muda universiti dalam dunia maritim.

Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri