314 pelatih 5 UA ditauliah Inspektor Kor Sukarelawan Polis Siswa Siswi
PEKAN, 24 September 2022 - Seramai 314 orang Inspektor Kor Sukarelawan Polis Siswa Siswi (SUKSIS) ditauliah setelah berjaya menamatkan latihan yang dijalankan selama tiga tahun atau enam semester yang melibatkan 672 jam secara keseluruhannya, mengikut silibus latihan yang telah diselaras dan ditetapkan di universiti awam (UA).
Pelatih Kor SUKSIS ini terdiri daripada UA Zon Timur iaitu Universiti Malaysia Pahang (UMP), Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang telah berjaya menamatkan latihan dengan cemerlang.
Mereka menerima sijil pentauliahan yang disampaikan oleh Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, CP Dato’ Aidi Ismail dalam Majlis Tamat Latihan dan Penyampaian Sijil Pentauliahan yang berlangsung di UMP Pekan.
Turut sama hadir ialah Naib Canselor UMP, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin merangkap Komandan Kor SUKSIS UMP, Ketua Penolong Pengarah Koordinasi Sumber Sokongan Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Polis Azhan Abdul Halim, Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Kontinjen Pahang, Senior Asisten Komisioner Polis Noor Hisam Nordin dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Pahang, Senior Asisten Komisioner Polis, Mohd Yusri Othman.
Dalam ucapannya, CP Dato’ Aidi mengucapkan tahniah atas kejayaan mengharungi latihan ini dengan penuh disiplin dan semangat juang yang tinggi dan segala penat lelah serta pahit maung yang dilalui telah hilang dengan pengiktirafan dan penghargaan melalui majlis istiadat tamat latihan dan penyampaian sijil pelantikan ini.
Dengan adanya modul-modul latihan yang ditetapkan seperti Modul Latihan Kawad, Modul Latihan Senjata, Modul Kursus Asas Pasukan Gerakan Am dan Modul Program Khidmat Masyarakat, beliau yakin para pelatih mampu untuk menjadi seorang graduan yang memiliki kemahiran insaniah yang tinggi.
Ujar beliau lagi, pembentukan peribadi tidak hanya dipelajari di dalam kelas tetapi juga diperoleh melalui aktiviti kokurikulum yang bertujuan untuk menerapkan kemahiran insaniah dalam kalangan pelajar universiti seperti kepimpinan, semangat berpasukan, ketaatan, disiplin dan pengurusan masa.
Semua itu merupakan hasil pembelajaran yang menjadi objektif utama program Kor SUKSIS ini sekali gus membentuk sahsiah cemerlang sebagai pemimpin berkaliber serta berpengetahuan dalam bidang kepolisan.
“Sesungguhnya negara kita memerlukan generasi pemimpin yang berilmu, berbudaya cemerlang, bertanggungjawab, berwawasan, berintegriti, mempunyai daya ketahanan yang kental dan bersemangat waja dalam melaksanakan agenda negara.
“Semua proses pendidikan yang bertujuan untuk menginsankan pelatih-pelatih Kor SUKSIS agar berpijak di bumi nyata dan peka kepada isu dan permasalahan masyarakat,” katanya.
Beliau turut menasihatkan para mahasiswa supaya menjauhkan diri dari segala bentuk gejala sosial dan pelanggaran undang-undang negara malahan menjadi contoh ikutan kepada pelajar lain dengan sentiasa menjaga disiplin diri ke arah membentuk generasi graduan yang berjaya serta cemerlang dalam segenap aspek kehidupan.

Disediakan oleh: Mimi Rabita Abdul Wahit, Bahagian Komunikasi Korporat, Jabatan Canseleri.
- 249 views