Skip to main content

Pasukan RoboBuas UMPSA raih naib johan Pertandingan National Soccer Robotic 2025

KUALA TERENGGANU, 29 Julai 2025 – Pasukan RoboBuas dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Automotif (FTKMA), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) berjaya merangkul naib johan dalam Pertandingan National Soccer Robotic 2025 yang berlangsung selama dua hari bermula 28 dan 29 Julai bertempat di Pusat Sains dan Kreativiti, Kuala Terengganu. 

Kejayaan ini mencerminkan UMPSA sebagai sebuah universiti yang berteraskan TVET yang berimpak tinggi.

Selain itu, kejayaan ini turut menjadi bukti kukuh kejayaan pelajar dalam mengaplikasikan ilmu secara praktikal. 

Pensyarah FTKMA yang juga Pengurus Pasukan, Ts. Idris Mat Sahat berkata kejayaan ini membuktikan kecekapan pasukan dalam bidang robotik dan kemahiran teknikal yang tinggi dalam membangunkan dan mengendalikan robot bola sepak yang inovatif dan kompetitif.

Pasukan RoboBuas UMPSA raih naib johan Pertandingan National Soccer Robotic 2025

“Semangat berpasukan, kreativiti dan semangat juang yang tinggi serta penguasaan teknologi nyata menjadi kunci penting dalam kejayaan para pelajar ini.

“Saya hanya membantu dan memberikan tunjuk ajar yang perlu sahaja dan selebihnya semuanya atas usaha mereka,” ujarnya.

Pasukan RoboBuas terdiri daripada pelajar tahun 3, Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Mekanikal (Reka Bentuk dan Analisis) dengan Kepujian dan Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Mekanikal (Automotif) dengan Kepujian iaitu Haikal Najmi Ibrahim, Ilmam Mumtaz Islah Munif, Muhammad Syahruddin Iman Zaidi, dan Muhammad Daniel Johan Ariff. 

Pertandingan National Soccer Robotic 2025 menghimpunkan pasukan-pasukan terbaik dari pelbagai institusi pengajian tinggi (IPT) seluruh negara dan menjadi platform penting dalam mencungkil bakat serta memperkasa kemahiran dalam bidang automasi dan robotik.

Disediakan Oleh: Siti Nurfarmy Ibrahim, Pusat Komunikasi Korporat

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri