Skip to main content

Pelajar Ikatan Siswa Anak Darul Ta’zim (ISKANDAR) anjur program Iskandar on Tour 5.0

JOHOR BAHRU, 19 Mei 2024 – Seramai 50 orang sekretariat Ikatan Siswa Anak Darul Ta’zim (ISKANDAR) Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) telah menganjurkan program Iskandar on Tour 5.0 di negeri Johor Darul Takzim. 

Menurut Presiden Sekretariat ISKANDAR, Amir Farish Hairul Helmi, demi mendukung Agenda Kelestarian UMPSA, ISKANDAR turut bekerjasama dengan Pusat Pembangunan Kelestarian (ESG/SDG) bagi penanaman 50 anak pokok di Hutan Ayer Hitam. 

“Program ini sekali gus menyokong SDG-4 (Quality Education), SDG-8 (Decent Work and Economic Growth), SDG-13 (Climate Action), SDG-15 (Life on Land) dan SDG-17 (Partnerships for the Goals). 

“Pokok berperanan sebagai penyerap karbon dioksida (CO2) yang berlebihan di dalam udara. 

“Dengan menanam lebih banyak pokok, kita membantu memperbaiki persekitaran alam yang lebih baik, sekali gus dapat membersihkan udara daripada karbon dioksida berlebihan yang boleh membahayakan kesihatan,” ujarnya. 

Tambahnya, program ini adalah salah satu inisiatif bagi mendekatkan mahasiswa dengan masyarakat di samping membantu memberi manfaat kepada komuniti di sini. 

Pelajar Ikatan Siswa Anak Darul Ta’zim (ISKANDAR) anjur program Iskandar on Tour 5.0

“Antara aktiviti-aktiviti yang dijalankan ialah aktiviti menangkap udang kara, pertanian kampung, mempelajari pembuatan kuih-muih tradisional, gotong-royong bersama penduduk kampung dan juga menyantuni pelajar sekolah menengah,” katanya. 

Program tiga hari itu yang bermula pada 17 hingga 19 Mei 2024 telah dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Naning, Yang Berhormat Datuk Haji Mohd Fuad Haji Tukirin di Kompleks Penghulu Mukim Ayer Hitam. 

Diharapkan program seperti ini diteruskan pada masa akan datang bagi mewujudkan kesedaran terhadap pentingnya alam sekitar yang bersih dan memupuk nilai kemasyarakatan dalam kalangan pelajar UMPSA dengan komuniti di samping meningkatkan lagi jiwa kesukarelawanan dalam diri mahasiswa seterusnya dapat melahirkan mahasiswa yang harmoni dan berkeperibadian tinggi.

Disediakan Oleh: Norul Fadilah Abdullah, Pusat Pembangunan Kelestarian

Reports by:
Admin UMP News