Pelajar UMPSA cipta GebuAdopt, Platform Digital bantu proses pengambilan haiwan peliharaan
PEKAN, 25 OGOS 2025 – Idea pembangunan GebuAdopt, sebuah platform berasaskan web bagi memperkasakan proses pengambilan haiwan peliharaan di Malaysia, tercetus daripada pemerhatian terhadap jumlah haiwan terbiar yang semakin meningkat dalam komuniti setempat.
Penyelidikan telah dijalankan oleh sekumpulan pelajar Fakulti Komputeran (FK), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) yang diketuai oleh Norakilah Mohd Yunos, bersama-sama Muhammad Irfanuddin Shaharin dan Azfar Irfan Asri dengan bimbingan Felo Perunding FK, Nurul Syafiqah Zaidi.
Penyelidikan turut mendapat kerjasama sebuah tempat perlindungan haiwan tempatan bagi tujuan maklum balas dan ujian pengguna.
Penyelidikan telah bermula pada awal tahun 2024 dan siap pada bulan Oktober 2024 sebagai projek tahun akhir, GebuAdopt kini wujud dalam bentuk prototaip berfungsi.
Menurut Norakilah, beliau melihat terhadap jumlah haiwan terbiar yang semakin meningkat dalam komuniti setempat adalah berpunca daripada ketiadaan sistem berpusat yang boleh menghubungkan tempat perlindungan dengan individu yang berminat untuk mengambil haiwan.
“Ditambah dengan maklum balas daripada pihak shelter haiwan, telah mengilhamkan pembangunan GebuAdopt.
“Platform ini membolehkan shelter haiwan berdaftar memuat naik senarai haiwan yang sedia untuk diambil pelihara, lengkap dengan butiran seperti spesies, umur, dan status kesihatan.
“Calon pengambil boleh menapis carian, menghantar permohonan secara terus, serta menggunakan ciri lost-and-found bagi melaporkan haiwan hilang,” katanya.
Beliau menambah, setiap pengguna sama ada shelter, pentadbir atau pengambil turut mempunyai papan pemuka khusus untuk memastikan kelancaran dan keselamatan penggunaan.
“Matlamat utama penyelidikan ini adalah untuk mewujudkan sebuah hab digital nasional yang dipercayai dalam urusan pengambilan haiwan, sekali gus mengurangkan jumlah haiwan terbiar dan terbiar semula.
“Bagi industri, GebuAdopt dapat menyelesaikan masalah sistem pengurusan shelter yang tidak efisien, manakala bagi masyarakat, ia menawarkan proses pengambilan haiwan yang lebih teratur dan telus.
“Buat masa ini, terdapat cadangan awal untuk memperluaskan fungsi platform pada masa hadapan, antaranya membangunkan aplikasi mudah alih, menambah kerjasama dengan lebih banyak shelter, menyediakan ciri sumbangan dan penajaan, menambah sokongan pelbagai bahasa, serta bekerjasama dengan klinik veterinar, NGO dan jenama haiwan peliharaan untuk sokongan selepas pengambilan,” ujarnya.

Kos anggaran pembangunan asas platform ini adalah sekitar RM3,800 setahun yang merangkumi peralatan, hosting dan penyelenggaraan, namun angka ini masih pada peringkat anggaran awal.
Mereka turut berharap agar projek ini dapat dikembangkan menjadi platform operasi penuh yang boleh diakses melalui web dan aplikasi mudah alih, dengan sasaran lebih 100 shelter berdaftar, peta haiwan hilang masa nyata, serta ekosistem mampan melalui perkongsian, sumbangan dan penglibatan komuniti.
Dalam Pameran Creation, Innovation, Technology and Research Exposition (CITREX) 2025 anjuran Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) pada 18 hingga 19 Jun 2025 di Dewan Kompleks Sukan UMPSA Kampus Gambang, penyelidikan ini telah meraih pingat emas.
Selain itu, penyelidikan ini turut memenangi pingat emas dan Top 20 Finalist dalam FYPRO-COM Exhibition 2025.
Terkini, pasukan ini juga menjadi salah satu daripada tiga kumpulan yang mewakili UMPSA ke Uji Bakat Innovathon Musim Ketiga, inisiatif di bawah Kementerian Ekonomi dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dengan kerjasama ASTRO yang berlangsung pada 4 dan 5 Ogos 2025 di Universiti Malaya (UM), Kuala Lumpur.
Disediakan Oleh: Nur Hartini Mohd Hatta, Pusat Komunikasi Korporat
- 90 views
Reports by: