Skip to main content

Pelajar UMPSA ‘Duta Kecil’ Malaysia timba pengalaman pembelajaran antarabangsa di Seoul

SEOUL, 15 April 2026 - Program Kembara Mobiliti anjuran Yayasan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) berjaya membawa seramai 18 peserta bagi menimba pengalaman pembelajaran bertaraf antarabangsa di Seoul, Korea Selatan, sekali gus memperkukuh jati diri mahasiswa sebagai ‘Duta Kecil’ Malaysia di pentas global sepanjang berlangsungnya program itu pada 21 hingga 30 November 2025.

Program dimulakan dengan penyertaan dalam Festival Malaysia 2025 di Dongdaemun Design Plaza (DDP) yang menyaksikan para peserta terlibat aktif sebagai sukarelawan dalam menyokong operasi vendor usahawan Malaysia, membantu pengurusan logistik dan mempromosikan inisiatif Yayasan UMPSA kepada pengunjung antarabangsa.

Penglibatan tersebut sekali gus mencerminkan komitmen tinggi mahasiswa dalam menyemarakkan semangat kebangsaan dan memperkukuh budaya kesukarelawan merentas sempadan.

Pelajar UMPSA ‘Duta Kecil’ Malaysia timba pengalaman pembelajaran antarabangsa di Seoul

Selain itu, peserta turut mengikuti lawatan sambil belajar ke Gyeongbokgung Palace dan Namsan Tower bagi mendalami warisan sejarah serta menelusuri pembangunan moden Korea Selatan, selari dengan aspirasi program yang menggabungkan elemen tradisi dan inovasi.

Program diteruskan dengan lawatan rasmi ke Kedutaan Malaysia di Korea Selatan menerusi sesi ‘Brief Overview of the Functions and Roles of the Embassy’ yang disampaikan oleh  Chee Yu Hee Bill serta perkongsian bertajuk ‘ASEAN-Korea Relations’ oleh Ariff  Ahmad Taharim.

Peserta turut mengadakan mesyuarat persediaan sebagai langkah awal bagi memperkukuh perbincangan strategik bersama rakan institusi di Korea Selatan.

Dalam pada itu, lawatan ilmiah ke Samsung Innovation Museum dan penyertaan dalam Program Sijil Kompetensi Artificial Intelligence turut memberi pendedahan menyeluruh kepada peserta mengenai perkembangan teknologi serta inovasi masa hadapan.

Lawatan pendidikan ke Konkuk University pula membuka ruang kepada pengukuhan jaringan akademik antarabangsa.

Seterusnya, program Inspire @ Prince Sultan Islamic School di Itaewon melibatkan pelajar berusia 10 hingga 14 tahun melalui pelbagai aktiviti interaktif seperti Ice Breaking, Timeline, pertandingan mewarna, pembinaan STEM Kit serta aktiviti DoReMi dan Bang Bang Bang.

Inisiatif ini mencerminkan komitmen Yayasan UMPSA dalam menyumbang kepada komuniti antarabangsa melalui pendekatan pendidikan dan kesukarelawan yang berimpak tinggi.

Program ini diakhiri dengan sesi perbincangan strategik bersama wakil pelajar Malaysia daripada beberapa universiti terkemuka di Korea Selatan termasuk Konkuk University, Korea University, Sungkyunkwan University dan Hanyang University.

Perbincangan tersebut merangkumi empat kluster utama iaitu khidmat komuniti, kebudayaan, bantuan dan pendidikan, serta aspek penjanaan dana dan pelaksanaan program.

Menurut Pengarah Program, Bayu Hanafi Norhazilan, inisiatif berkenaan bukan sahaja memberi pendedahan antarabangsa kepada mahasiswa, malah menjadi platform strategik dalam membina jaringan global di samping memperkasa kemahiran insaniah dan teknikal peserta. 

“Program seumpama ini akan terus diperkasa pada masa hadapan dengan penekanan terhadap kolaborasi antarabangsa, pembangunan teknologi serta impak komuniti yang lebih meluas,” ujarnya. 

Secara keseluruhannya, Kembara Mobiliti Yayasan UMPSA @Seoul, Korea Selatan 2025 berjaya melahirkan mahasiswa yang berfikiran global, berdaya saing serta berkeupayaan menyumbang kepada masyarakat.

Program ini turut mencerminkan komitmen berterusan UMPSA dalam memperkukuh nilai kebangsaan, memupuk budaya kesukarelawanan serta mengangkat imej universiti di persada antarabangsa.

Disediakan Oleh: Nur'ain Aqillah Che Othman, Yayasan UMPSA

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri