Skip to main content

Program Ziarah Prihatin hulur bantuan persiapan pelajar masuk UMPSA

PEKAN, 19 Jun 2026 – Tiada siapa menyangka kunjungan wakil pengurusan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) menziarahi keluarga Husna Athilah Isa di kediamannya membawa sinar buatnya apabila menerima sumbangan Insentif Pendidikan berjumlah RM1,000 serta bantuan sebuah komputer riba bagi membantu kelancaran persediaan beliau untuk memulakan pengajian di UMPSA tidak lama lagi. 

Husna Athilah ditawarkan mengikuti pengajian dalam program Diploma Kejuruteraan Awam di Fakulti Teknologi Kejuruteraan Awam (FTKA) merupakan anak sulung dalam keluarga. 

Beliau turut mempunyai seorang adik perempuan yang kini sedang menuntut di tingkatan tiga.

Merupakan pelajar lepasan Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Abdullah, Husna adalah anak kepada pasangan Loeb Raksmey yang bekerja sebagai mekanik dan Rosiah Muhamad, seorang suri rumah yang kini berdepan  dengan masalah kesihatan.

Menurut Husna Athilah, beliau amat bersyukur dan terharu atas keprihatinan yang ditunjukkan oleh pihak UMPSA terhadap dirinya dan keluarga.

“Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan ribuan terima kasih kepada pihak UMPSA kerana sudi meluangkan masa untuk melawat saya dan keluarga. 

“Kunjungan ini bukan sahaja memberikan kegembiraan kepada kami, malah menjadi sumber semangat dan motivasi untuk saya meneruskan pengajian serta berusaha mencapai kejayaan sehingga tamat pengajian,” katanya yang terharu dengan sumbangan yang diterima. 

Sumbangan disampaikan oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMPSA, Profesor Ts. Dr. Kamal Yusoh.

Turut hadir Penolong Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Ts. Dr. Mohd Razali Daud, serta Pengurus Besar, Jabatan Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa (JHEAA), Abd Rahman Haji Safie.

Menurut Profesor Ts. Dr. Kamal, program Ziarah Prihatin ini merupakan salah satu inisiatif UMPSA dalam mendekati pelajar baharu khususnya daripada keluarga yang memerlukan, selain memastikan mereka mendapat sokongan yang sewajarnya untuk memulakan kehidupan sebagai mahasiswa universiti.

“UMPSA dan Yayasan UMPSA sentiasa cakna dalam memastikan kebajikan dan kesejahteraan pelajar sentiasa diberi perhatian menerusi Program Ziarah Prihatin Pelajar Kemasukan Baharu Diploma Semester 1 Sesi Akademik 2026/2027,” katanya ketika menyampaikan sumbangan kit bantuan Yayasan UMPSA dalam Program Ziarah Prihatin di Ketapang, Pekan. 

Melalui pendekatan turun padang ini, UMPSA bukan sahaja membantu meringankan beban kewangan keluarga pelajar, malah turut menyuntik semangat dan keyakinan kepada mereka untuk mengejar kecemerlangan akademik kelak. 

UMPSA bersedia menyantuni pelajar baharu yang berkeperluan sebagai inisiatif dan memudah cara urusan pendaftaran mereka pada 19 Julai depan bagi program pengajian diploma dan bagi kemasukan program pengajian ijazah sarjana muda pada September depan. 

Malahan, UMPSA sentiasa cakna dan peka akan keperluan mereka mendaftar sehinggalah bergraduasi kelak terutamanya terhadap kebajikan sepanjang pengajian.

Melalui kerjasama erat Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA), Yayasan UMPSA, fakulti dan rakan-rakan kolaborasi strategik, Ziarah Prihatin akan digerakkan bagi membantu memudah cara urusan kewangan dan pendaftaran di UMPSA.

Disediakan Oleh: Wallid Wahidi Hamzah, Pusat Komunikasi Korporat
 

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri