Semangat merdeka dibawa ke Melbourne, mahasiswa UMPSA rai Hari Kebangsaan Ke-68
MELBOURNE, 31 Ogos 2025 – Seramai 15 mahasiswa Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) yang menyertai Program Kembara Mobiliti UMPSA@ Melbourne menyambut Hari Kebangsaan Malaysia ke-68 di bumi Australia dengan penuh semangat patriotisme.
Walaupun berada jauh dari tanah air, para mahasiswa mengambil kesempatan untuk mengibarkan Jalur Gemilang dan menyanyikan lagu Negaraku dan patriotik, sekali gus menyemarakkan rasa cinta kepada negara serta mengukuhkan ukhuwah dalam kalangan pelajar Malaysia di luar negara.
Ketua delegasi Sukarelawan Yayasan UMPSA merangkap Pengarah Program, Nur Husna Azlan berkata, sambutan tersebut mencerminkan kesetiaan mahasiswa terhadap tanah air.
“Kami bangga dapat membawa identiti Malaysia di bumi Australia.
“Semoga pengalaman ini menyemai rasa cinta yang mendalam terhadap negara walau di mana sahaja kita berada,” ujarnya.
Majlis anjuran Consulate General of Malaysia, Melbourne itu turut disertai wakil daripada Education Malaysia Australia (EMA), MASCA Victoria, Malaysia Hall Resident Club (MHRC) serta komuniti Malaysia setempat.

Selain sambutan kemerdekaan, delegasi UMPSA turut melaksanakan beberapa aktiviti termasuk Projek Street Care bersama NGO El-Rahman, sesi perkongsian bersama mahasiswa MASCA dan MHRC, serta program Pemerkasaan STEM dan Street Science.
Mahasiswa juga menyertai acara unik Tram Sarong Melbourne 2025 yang meraikan warisan budaya Malaysia dengan menaiki tram sambil mengenakan pakaian tradisional Malaysia.
Aktiviti ini bukan sahaja mengangkat identiti budaya masyarakat Malaysia, malah menjadi simbol kebanggaan dan kesatuan rakyat Malaysia di luar negara.
Program ini menjadi bukti kesungguhan mahasiswa UMPSA untuk terus mengangkat nilai kenegaraan, menyemarakkan budaya kesukarelawanan dan mengekalkan jati diri sebagai anak Malaysia yang berwibawa di pentas dunia.
Disediakan Oleh: Nur Husna Azlan, Yayasan UMPSA
- 148 views
Reports by: