Skip to main content

SM Teknik Kuantan lawat UMPSA beri pendedahan awal bidang Elektrik dan Elektronik

PEKAN, 14 Ogos 2024 – Seramai 60 orang pelajar dan empat orang guru dari Sekolah Menengah Teknik Kuantan mengadakan lawatan ke Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, (FTKEE), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) hari ini.

Program lawatan ini merupakan salah satu inisiatif di bawah Faculty@School Siri 2 yang bertujuan untuk meningkatkan pengetahuan dan pemahaman para pelajar mengenai bidang Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik.

Menurut Guru Kanan, Mata Pelajaran Teknikal (GKMP), Surimaruzi Jusoh, lawatan ini bertujuan memberi peluang kepada para pelajar untuk melihat dan memahami teknologi terkini yang digunakan di industri.

“Selain itu, kita berharap agar lawatan ini dapat menginspirasikan pelajar untuk melanjutkan pengajian dalam bidang Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik,” ujarnya.  

SM Teknik Kuantan lawat UMPSA beri pendedahan awal bidang Elektrik dan Elektronik

Terdahulu, para pelajar diberikan taklimat akademik yang disampaikan oleh Dekan FTKEE, Profesor Ts. Dr. Hamdan Daniyal.

Para pelajar turut dibawa melawat ke makmal-makmal di sekitar fakulti seperti Makmal Alternative Energy dan juga Makmal Robotik.

Tidak ketinggalan, para pelajar turut dibawa untuk melihat tapak solar terapung yang terletak di tasik UMPSA.

Pada masa ini, solar terapung tersebut terdiri daripada 240 unit panel solar, 1 unit inverter 125 Amp dan lebih daripada 136 unit pelampung bagi membentuk kawasan seluas 2,574 meter persegi. 

Disediakan Oleh: Siti Nurfarmy Ibrahim, Pusat Komunikasi Korporat

Reports by:
Siti Nurfarmy binti Ibrahim