Skip to main content

Pelajar antarabangsa UMPSA semarakkan Bulan Kemerdekaan Malaysia dengan alunan puisi

PEKAN, 28 Ogos 2025 – Seramai empat orang pelajar antarabangsa Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dari Yaman turut serta dalam mendeklamasikan puisi di program Alun Puisi 8 Jam anjuran UMPSA dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Wilayah Tengah. 

Kesemua mereka adalah dari Fakulti Komputeran (FK) iaitu Yousef Ahmed Ali Amer, Abdullah Mueataz Adel Ahmed Saeed, Alshammakh Asaad Abdullah dan Faisal Esam Habeb Alkhulaqi.

Pada Malam Penutup Alun Puisi 8 Jam, pelajar tahun empat Yousef Ahmed Ali Amer,  berpeluang berkongsi pentas dengan pemuisi tempatan terkenal seperti AK Hidayat, Haji Nordin, Amaruszati, Usman Gumanti, dan Kumpulan Kopratasa. 

Beliau tampil mendeklamasikan puisi bertajuk ‘Keluarga Merdeka UMPSA’, karya Guru Bahasa, Pusat Bahasa Moden (PBM), yang sarat dengan mesej perpaduan dan semangat cinta tanah air oleh warga UMPSA.

Penyertaan pelajar antarabangsa ini merupakan lanjutan daripada kelas bahasa Melayu yang telah mereka ikuti di PBM pada semester sebelum ini. 

Penguasaan asas yang diperoleh melalui kelas telah memberikan keyakinan kepada mereka untuk tampil di atas pentas, sekali gus mempraktikkan bahasa dalam bentuk penghayatan seni.

Kejayaan ini lahir daripada dedikasi para guru bahasa PBM yang membimbing pelajar antarabangsa, serta sokongan padu daripada Dekan PBM, Profesor Madya Dr Nik Aloesnita Nik Mohd Alwi dan Ketua Program Bahasa Asing, Dr. Wan Jumani Fauzi.

Dr. Wan Jumani berharap agar pengalaman ini bukan sahaja mampu mengasah kemahiran berbahasa Melayu pelajar-pelajar antarabangsa, malah membuka ruang untuk mereka memahami nilai budaya serta sejarah perjuangan kemerdekaan Malaysia.

Pelajar antarabangsa UMPSA semarakkan Bulan Kemerdekaan Malaysia dengan alunan puisi

 
“Puisi bukan sekadar seni kata, tetapi juga medium pembelajaran bahasa yang berkesan kerana puisi menggabungkan aspek linguistik, intonasi, emosi, dan budaya. 

“Melalui bacaan puisi, pelajar antarabangsa dapat menguasai bahasa Melayu dalam konteks yang lebih hidup, sekali gus menghayati roh kemerdekaan negara,” jelas beliau.

Pelajar antarabangsa UMPSA semarakkan Bulan Kemerdekaan Malaysia dengan alunan puisi

 
Sementara itu, menurut Yousef, ini merupakan pengalaman yang amat bermakna baginya.

“Membaca puisi dalam bahasa Melayu membuatkan saya lebih yakin berbahasa dan pada masa yang sama dapat memahami semangat kemerdekaan Malaysia.

“Saya lebih menghargai makna kebebasan, keamanan dan perpaduan yang terserlah dalam sambutan kemerdekaan Malaysia,” katanya. 
 

Pelajar antarabangsa UMPSA semarakkan Bulan Kemerdekaan Malaysia dengan alunan puisi

Keterlibatan pelajar antarabangsa ini menunjukkan bahawa pembelajaran bahasa di UMPSA melangkaui bilik kuliah, menggabungkan pengalaman budaya dan seni sebagai alat pendidikan holistik.

Inisiatif ini juga adalah selari dengan teras strategi pengantarabangssan yang menekankan pemerkasaan pelajar antarabangsa melalui pengalaman akademik, budaya dan komuniti. 

UMPSA terus berusaha melahirkan graduan antarabangsa yang cemerlang akademik, tetapi juga menghargai keunikan warisan budaya Malaysia.

Pelajar antarabangsa UMPSA semarakkan Bulan Kemerdekaan Malaysia dengan alunan puisi

 
“Bahasa mempertaut jiwa, puisi merdeka menyatukan dunia.”

Selamat Menyambut Hari Kebangsaan Malaysia Ke-68. Merdeka! Merdeka! Merdeka!

Pelajar antarabangsa UMPSA semarakkan Bulan Kemerdekaan Malaysia dengan alunan puisi

 
Disediakan Oleh: Jamilah Bebe Mohamad dan Nor Suhardiliana Sahar, Pusat Bahasa Moden (PBM)

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri