UNIVERSITI Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) bersama Pusat Sains Kemanusiaan (PSK) memperkukuh usaha pemuliharaan warisan tempatan menerusi Bengkel Pemuliharaan dan Pemindahan Ilmu Wau Pungguk sebagai Warisan Budaya Pahang di Kampung Tanjong Gosong, Pekan, Pahang.
Bengkel yang dilaksanakan menerusi Projek CDU250153 di bawah Geran Inovasi Sosial dan Pemindahan Ilmu Komuniti (CDU) itu memberi tumpuan kepada pemindahan pengetahuan dan kemahiran berkaitan sejarah, reka bentuk, pembuatan, hiasan serta penerbangan wau pungguk kepada komuniti.
Projek yang menerima peruntukan sebanyak RM20,000 itu dirangka sebagai platform pembelajaran secara bersemuka serta amali supaya pengetahuan berkaitan wau pungguk dapat dipelajari, dipraktikkan, didokumentasikan dan disebarluaskan kepada komuniti.
Menurut Ketua Projek yang juga Pensyarah Pusat Sains Kemanusiaan (PSK) UMPSA, Mohd. Azam Muhamad Akhir, penganjuran bengkel tersebut bukan sekadar memberi pendedahan teori.
Sebaliknya, ia menyediakan ruang pembelajaran secara amali bersama penggiat wau yang mempunyai pengalaman dalam bidang berkenaan.
“Walaupun fokus pengajian utama di UMPSA berteraskan kejuruteraan dan teknologi, namun pihak universiti tidak pernah mengabaikan keutamaan dalam memelihara nilai-nilai warisan serta kebudayaan.
“Menerusi inisiatif ini, geran universiti dapat dipulangkan semula kepada masyarakat untuk memastikan seni warisan tempatan seperti wau pungguk tidak luput dek zaman.
“Wau pungguk merupakan salah satu wau tradisional yang berasal dari Pekan, Pahang dengan reka bentuk yang diinspirasikan daripada burung pungguk yang berperanan mengawal tanaman padi daripada haiwan perosak,” ujarnya.
Para peserta bergambar kenangan ketika Bengkel Pemuliharaan dan Pemindahan Ilmu Wau Pungguk
di Pekan, Pahang baru-baru ini.
Tambahnya, reka bentuk bahagian kepala, sayap dan ekornya turut mempunyai fungsi tertentu bagi membantu kestabilan wau ketika diterbangkan.
Bengkel berlangsung selama sehari itu menghimpunkan lebih 40 peserta, termasuk komuniti setempat, ahli Persatuan Wau dan Layang-layang Pahang serta individu yang berminat terhadap seni pembuatan wau.
Bengkel turut mendapat penglibatan penggiat wau tempatan, antaranya Zulkefli Hussin dan Mohd. Redzuan Abd. Rahman.
Sepanjang bengkel, peserta mengikuti beberapa sesi utama yang meliputi pengenalan warisan, demonstrasi pembuatan, latihan amali, kemasan serta pelarasan teknikal, sebelum menjalani sesi penerbangan wau.
Pada sebelah pagi, peserta diberi taklimat program, keselamatan dan peralatan, sebelum mengikuti sesi mengikat rangka serta menampal kertas wau.
Manakala pada sebelah petang, peserta meneruskan aktiviti sobek dan hiasan wau, serta sesi penerbangan wau pungguk.
Pendekatan amali tersebut selaras dengan objektif projek yang turut menekankan kemahiran menggunakan bahan dan peralatan, menghasilkan wau melalui bimbingan fasilitator serta memahami aspek keseimbangan, angin dan keselamatan ketika menerbangkan wau.
Selain aktiviti amali, program itu turut disokong dengan pameran berkaitan warisan wau yang memperkenalkan pelbagai jenis wau tradisional, peralatan pembuatan, pakaian pemain serta tokoh dan penggiat seni wau.
Penganjuran bengkel itu juga memperlihatkan peranan universiti dalam menghubungkan pengetahuan akademik dengan pengetahuan yang berkembang dalam komuniti.
Melalui interaksi secara langsung bersama penggiat dan pembuat wau, pengetahuan yang diwarisi secara turun-temurun itu dapat dikongsi, dipraktikkan dan direkodkan untuk rujukan generasi akan datang.
Program diakhiri dengan penyampaian sijil dan cenderamata kepada peserta serta sesi bergambar.