Kolaborasi strategik UMP dan 4 industri taja biasiswa kecemerlangan LI
KUANTAN, 22 November 2021 - Universiti Malaysia Pahang (UMP) menjalinkan kerjasama strategik dengan empat industri dalam meningkatkan kebolehpasaran graduan dengan penawaran Biasiswa Kecemerlangan Latihan Industri untuk pelajar UMP.
Empat syarikat itu ialah Nextgreen Pulp & Paper Sdn. Bhd., Chua Ming Hooi Construction Sdn. Bhd., Hardex Corporation Sdn. Bhd. dan EC Excel Wire Sdn. Bhd.
Biasiswa berprestij dan eksklusif itu bakal ditawarkan kepada pelajar yang cemerlang dalam bidang akademik dan menunjukkan bakat kepimpinan yang tinggi.
Ia akan memberi manfaat kepada mahasiswa dalam bentuk sokongan kewangan, pendedahan dan penempatan latihan industri (LI) kepada pelajar yang terpilih sepanjang mengikuti pengajian di UMP.
Majlis menyaksikan Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin yang menjalankan fungsi Naib Canselor UMP merangkap Timbalan Pengerusi Yayasan UMP dan Pengarah Pusat Pembangunan dan Penempatan Kerjaya (PPPK), Profesor Madya Dr. Irene Ting Wei Kiong hadir menandatangani memorandum perjanjian (MoA) yang berlangsung di Hotel Hyatt Kuantan.
Turut hadir menyaksikan acara ialah Pengerusi Lembaga Pengarah UMP, Tan Sri Dato’ Sri Dr. Abdul Aziz Abdul Rahman merangkap Pengerusi Yayasan UMP.
Manakala pihak industri diwakili Pengarah Urusan Nextgreen Pulp & Paper Sdn. Bhd., Dato’ Lim Thiam Huat dan Pengarah Eksekutif, Kelly Lim Kah Yen serta Chua Ming Hooi Construction Sdn. Bhd. diwakili Pengarahnya, Chua Say Chai dan Chua Say Hand.
Hardex Corporation Sdn. Bhd. pula diwakili oleh Pengarah Urusan, Lau Keng Chong dan Pengarah Operasi, Goh Chung Kiat serta EC Excel Wire Sdn. Bhd. diwakili Pengarah Urusan, Ng Heng Hong dan Ketua Pegawai Kewangan, Hiew Yong Nin.
Tan Sri Dato’ Sri Dr. Abdul Aziz merakamkan penghargaan terima kasih kepada industri yang menyumbang biasiswa untuk membantu pelajar yang memerlukan.
“Pelajar juga akan menerima manfaat pengalaman praktikal berorientasikan pembangunan pengetahuan atau kemahiran khusus dalam bidang pengajian pelajar.
“Mereka juga berpeluang mendapat penempatan LI dan meningkatkan kerjasama antara universiti dengan industri,” ujarnya.
Biasiswa ini memperuntukkan sebanyak RM5,000 pada setiap semester dengan tempoh pembiayaan tajaan selama lapan semester merangkumi yuran pengajian, penginapan, elaun sara hidup, elaun buku dan elaun program penempatan tahunan buat pelajar.
Dalam menjayakan usaha ini, UMP menerusi Pusat Pembangunan dan Penempatan Kerjaya (PPPK) bertanggungjawab dalam menguruskan aktiviti pembangunan kerjaya dan operasi penempatan LI pelajar bagi semua program pengajian prasiswazah di UMP.
Disediakan oleh: Mimi Rabita Abdul Wahit, Unit Komunikasi Korporat, Pejabat Naib Canselor (PNC)
- 201 views