Skip to main content

Simposium Elsevier-MTUN fokus pendekatan AI dalam memantapkan kualiti pengajaran dan pembelajaran

KUANTAN, 30 September 2024 - Penganjuran Simposium Elsevier MTUN Ke-3 sempena Hari Akademia 2024 anjuran Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dan Elsevier baru-baru ini memfokuskan pendekatan kecerdasan buatan (AI) dalam memantapkan kualiti pengajaran dan pembelajaran terutama dalam Rangkaian Universiti-universiti Teknikal Malaysia (MTUN). 

Simposium yang mengumpulkan pakar dalam universiti dan industri itu membincangkan dan meneroka penemuan baharu, pencapaian terkini dan inovasi berfikir ke hadapan dalam bidang kecerdasan buatan, terutama dalam sains, teknologi dan kejuruteraan.

MTUN terdiri daripada UMPSA, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).

Hadir merasmikan majlis ialah Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Ts. Mustapha Sakmud di Hotel Zenith, Kuantan.

Turut hadir Naib Canselor UMPSA, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin, Naib Canselor UTHM, Profesor Dato’ Ir. Ts. Dr. Ruzairi Abdul Rahim, Pengarah Serantau Asia Tenggara Elsevier, Omar Malik, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMPSA, Profesor Dato’ Ir. Ts. Dr. Ahmad Ziad Sulaiman dan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), UniMAP, Profesor Ir. Dr. Mohd Shukry Abdul Majid.
Menurut Datuk Ts. Mustapha, pihak Kementerian Pendidikan Tinggi sentiasa menyokong inisiatif memperluas kecerdasan buatan, terutama dalam sains, teknologi dan kejuruteraan di Institut Pengajian Tinggi (IPT) bagi meningkatkan kualiti pengajaran dan penyelidikan dalam MTUN.

“Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan terus memberi galakan kepada universiti di negara ini untuk menggunakan pendekatan AI dalam akademik dan penyelidikan selaras dengan kecanggihan teknologi dan peredaran masa selain perlu disokong kepakaran dalam bidang terbabit.

“Kerjasama Elsevier-MTUN dalam akses pangkalan data seperti Scopus, ScienceDirect dan alat seperti Mendeley ini bakal meningkatkan kualiti penyelidikan dan pembelajaran dalam menghasilkan karya ilmiah serta memudahkan kolaborasi antara penyelidik.

“Dengan akses kepada alat-alat ini, MTUN dapat meningkatkan tahap penerbitan dan kebolehlihatan hasil penyelidikan mereka di peringkat global,” katanya.

Hari Akademia 2024 mempunyai makna yang lebih besar buat institusi pendidikan dalam memperkasa akademik dan pembangunan penyelidikan.

Sementara itu, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie berkata, MTUN komited untuk menghasilkan graduan yang bukan sahaja menjadi permintaan industri tetapi juga dilengkapi dengan pengetahuan dan kemahiran lanjutan yang diperlukan untuk cemerlang dalam dunia yang berkembang pesat dan dipacu teknologi.

“Simposium ini mencerminkan komitmen MTUN untuk terus meningkatkan kualiti pengajaran dan penyelidikan dengan mengintegrasikan AI dalam pendidikan tinggi dan inisiatif penyelidikan bagi memenuhi keperluan industri dalam dan luar negara,” katanya. 

Turut berlangsung pertukaran memorandum persefahaman (MoU) di antara UMPSA dan Elsevier serta UTHM dan Elsevier yang disaksikan oleh Datuk Ts. Mustapha Sakmud.

Selain itu, forum akademia yang dijalankan menampilkan panel yang terdiri daripada Profesor Dr. Sharifah Sakinah Syed Ahmad dari Fakulti Teknologi Maklumat dan Komunikasi, UTeM, Profesor Ir. Dr. Mohd Shukry Abdul Majid, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UniMAP, Profesor Ts. Dr. Aida Mustapha, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMPSA dan Profesor Ts. Dr. Rabiah Ahmad, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UTHM.

Manakala Profesor Ir. Dr. Mohd Faizal Jamlos pula berkongsi kepakaran dengan tajuk ‘Closed Systems in the AI Campus Development Ecosystem’ dan Penolong Naib Canselor Pengembangan Akademik UMPSA, Profesor Ts. Dr. Kamal Yusoh membincangkan tajuk ‘Integration of Embedded Artificial Intelligence (AI) into the Curriculum Structure of Higher Education Academic Programs’.

Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat

Reports by:
Naqiah Puaad