Synbion, United Agarwood Planters, Inc. meterai perjanjian bangunkan industri Gaharu dengan produk penemuan baharu
KUALA LUMPUR, 12 September 2024 - Syarikat spin-off UMPSA Holdings Sdn Bhd., Synbion dan United Agarwood Planters, Inc. (UAP) yang berpangkalan di Filipina menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) untuk memperkukuhkan kerjasama mereka dalam industri agarwood (gaharu) yang menggunakan produk penemuan baharu berasaskan saintifik.
UMPSA Holdings Group adalah anak syarikat Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
Synbion akan membekalkan kepada UAP OUDIno, inokulan berasaskan bahan semula jadi menggunakan teknologi mikrob berkesan untuk pokok gaharu bagi menghasilkan cip kayu gaharu gred berkualiti dengan bantuan, kemudahan dan jaminan daripada Iba Botanicals Inc. (IBI), syarikat induk UAP.
Dalam majlis tersebut, Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri DiRaja Dr. Zambry Abd Kadir hadir menyaksikan pertukaran MoA antara Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Syed Alwi Mohamed Sultan dengan Ketua Pegawai Eksekutif IBA Botanicals Inc, Mr. Benjamin Mead.
Turut sama hadir Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Dato’ Profesor Dr. Azlinda Azman, Pengerusi UMPSA Holdings Sdn. Bhd., Dato’ Sri Dr. Salehuddin Ishak, Naib Canselor UMPSA, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin dan Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (KPPK), Dato' Dr. Haji Mohd Zahari Ismail.
Majlis tersebut berlangsung sempena Persidangan Ke-2 ‘Rethinking the Future of Sustainability’ (ReTHINK 2024).
Persidangan dua hari bermula 11 September itu memfokuskan kepada perbincangan dan pembentangan berkaitan isu kemampanan untuk masa depan (the future of sustainability) dengan membariskan ahli panel yang berwibawa dan berpengaruh.
Persidangan yang bertemakan ‘Emerging Trends in Smart Agriculture and Plantations - Trend Terkini Pertanian Pintar dan Perladangan’ itu menampilkan pakar daripada industri dan akademik terkemuka.
Para peserta turut membincangkan isu berkaitan keselamatan makanan, pertanian pintar dan inovasi teknologi dalam industri pertanian serta perladangan untuk memacu daya saing dan kemampanan.
Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat
- 84 views