UMP, ASSB jalin kerjasama strategik dalam akademik dan pembangunan insan
KUANTAN, 19 Mei 2022 - Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan Alliance Steel (M) Sdn. Bhd. (ASSB) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi jalinan kerjasama akademik dan penyelidikan yang dapat dimanfaatkan oleh kedua-dua pihak.
Menerusi kerjasama ini UMP dan ASSB akan membangunkan tapak pengajaran Confucius Institute (CI) UMP bagi menawarkan kursus teknikal Bahasa Mandarin dalam bidang metalurgi untuk staf tempatan ASSB yang akan meningkatkan kecekapan dalam Bahasa Mandarin + Pendidikan Vokasional''.
Kerjasama ini turut menggalakkan pembangunan ekonomi dan perdagangan di pantai Timur Malaysia serta meningkatkan komunikasi budaya dan bahasa antara China dan Malaysia.
Pada masa yang sama turut berlangsung Majlis Penyerahan Papan Nama Tapak Pengajaran Confucius Institute (CI) UMP di ASSB yang terletak di Malaysia-China Kuantan Industri Park (MCKIP).
Majlis menyaksikan Naib Canselor UMP, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin dan Ketua Pegawai Eksekutif Teknologi ASSB, Hu Jiulin menandatangani MoU disaksikan Duta Besar China ke Malaysia, HE Ouyang Yujing, Pengerusi Lembaga Pengarah UMP, Tan Sri Dato’ Sri Dr. Abdul Aziz Abdul Rahman dan Timbalan Pengurus Besar ASSB, Pan ChuanXia.
Menurut HE Ouyang Yujing, Taman Perindustrian Malaysia-China Kuantan (MCKIP) ialah projek kerjasama antara kerajaan China dengan Malaysia dan ia merupakan Taman Perindustrian China yang pertama ditubuhkan di Malaysia.
“ASSB adalah industri China yang cemerlang atas kerjasama ekonomi dalam kalangan kerajaan China dan Malaysia.
“Confucius Institute UMP merupakan kerjasama antara UMP dengan Hebei University,” katanya.
Beliau yakin China yakin bahawa dengan sokongan dari semua pihak, persahabtan antara China dan Malaysia akan ditingkatkan, seterusnya mengukuhkan strategi pembangunan serta menggalakkan kerjasama politik, ekonomi, pendidikan antara dua negara.
Selain itu katanya, pembangunan yang berkualiti ini akan meningkatkan kesejahteraan rakyat dan mencapai manfaat bersama.
Dalam pada itu, Tan Sri Dato’ Sri Dr. Abdul Aziz berkata, kerjasama ini akan melibatkan bidang pengajaran dan pembelajaran, latihan kemahiran pekerja, latihan industri, penyelidikan bersama dan lain-lain.
“Di samping itu, penubuhan tapak pengajaran CI UMP di ASSB, maka penawaran kursus bahasa Mandarin dalam bidang metalurgi dan kandungan pengajaran yang berbeza akan dibangunkan mengikut kehendak industri bagi meningkatkan komunikasi staf Malaysia dengan staf China dengan berkesan.
“Tapak Pengajaran CI UMP di ASSB akan melatih 5,000 orang staf tempatan dalam tempoh lima tahun yang akan datang dan setiap tahun menganjurkan 40 kelas bagi kursus teknikal bahasa Mandarin dalam bidang metalurgi,” ujarnya.
Bagi Hu Jiulin, ASSB dan UMP akan bekerjasama membangunkan modal insan bagi meningkatkan kolaborasi industri dengan universiti.
“Manakala pemindahan teknologi dan pembangunan tempatan ini merupakan pembangunan industri secara jangka masa panjang,” katanya.
Kerjasama ini turut disokong Presiden Hebei University (HBU), Profesor Dr. Kang Le yang menyampaikan ucapan dalam talian bahawa UMP merupakan rakan kongsi HBU yang rapat di luar negara.
“Dengan adanya CI UMP, ia telah meningkatkan kerjasama antara akademik, penyelidikan dan pembangunan modal insan,” ujarnya.
Turut hadir dalam program, isteri Duta Besar China ke Malaysia, Song Xiao Mei, Pengarah Pendidikan China, Zhao Changtao dan delegasi dari kedutaan China di Malaysia.
Sementara itu dari UMP, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Ts. Dr. Mohd Rosli Hainin, Pengarah Malaysia CI UMP, Yong Ying Mei dan Pengarah China CI UMP, Profesor Madya Dr. Wang Haiyan.
Sejak beroperasi CI UMP, terdapat banyak kursus dan aktiviti-aktiviti bahasa Mandarin dianjurkan dengan sokongan masyarakat di China dan Malaysia.
Fokus kursus bahasa Cina dan bidang spesifik telah mengkayakan pendidikan dalam bahasa Cina.
CI UMP juga telah menawarkan Kursus Railway Mandarin bagi memenuhi keperluan industri.
Oleh: Mimi Rabita Abdul Wahit, Bahagian Komunikasi Korporat, Jabatan Canseleri