UMP dan Bosch Rexroth jalin kerjasama dalam pembangunan Kejuruteraan Automasi
PEKAN, 6 Februari 2023 - Universiti Malaysia Pahang (UMP) memeterai kerjasama dengan Bosch Rexroth Sdn. Bhd. (Bosch Rexroth) dalam aktiviti pembangunan kurikulum bagi memperkukuh kolaborasi universiti-industri.
Kerjasama itu akan melibatkan latihan industri, pertukaran pelajar, tawaran kursus pembelajaran yang ditambah baik dan menjadikan modul latihan industri 4.0 berasaskan pensijilan dari Jerman sebagai rujukan.
Majlis menyaksikan Naib Canselor UMP, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserie Zainuddin bertukar memorandum persefahaman (MoU) dengan Ketua Pegawai Eksekutif Bosch Rexroth Malaysia, Darren Chan Chon Hoe.
Menurut Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserie, melalui Bosch Rexroth Academy di Jerman kerjasama ini melibatkan penempatan pelajar amali dengan penggunaan peralatan di Malaysia dan luar negara serta program pensijilan kepada pelajar khususnya dalam program Sarjana Muda Teknologi, Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan dan Sarjana Muda Kejuruteraan.
“UMP sebagai sebuah universiti MTUN yang bercirikan teknologi dan kejuruteraan sentiasa beraspirasi untuk menjadi lebih berdaya saing di peringkat global.
“Justeru, kami amat mengalu-alukan jalinan kerjasama dengan rakan industri dalam membangunkan program dan akiviti yang disepakati untuk manfaat bersama
“Kolaborasi strategik ini seiring dengan Pelan Strategik UMP 2021-2025 dalam melahirkan graduan holistik dan bakat tempatan dengan modul latihan komprehensif yang diiktiraf di seluruh dunia serta disesuaikan untuk menangani cabaran industri IR4.0,” ujarnya.
Tambah beliau lagi, pelajar UMP bakal menimba pengalaman secara langsung dalam peralatan automasi industri dan ini akan menambah nilai kepada graduan UMP, terutamanya dalam pasaran kerja yang kompetitif masa kini..
“UMP berharap dapat meneroka kerjasama lain dalam jangka panjang khususnya dalam bidang kompetensi dan program pembangunan pelajar, kemahiran semula dan peningkatan kemahiran yang lebih luas.
“UMP Bosch Rexroth Academy dibangunkan dengan tiga tonggak utama iaitu untuk mencapai Aspirasi TVET (MTUN), membangunkan Pusat Latihan Termaju IR 4.0 Hi-Tech dan menyokong Agenda IR 4.0 Negara.
“Melalui tonggak ini, pelajar UMP dapat menimba pengalaman secara langsung dalam peralatan automasi termaju dari industri,” katanya.
Menurutnya lagi dalam menyokong Aspirasi MTUN TVET, UMP Rexroth Bosch Academy berperanan sebagai platform program kurikulum yang berteraskan kehendak industri.
Selain itu, UMP Rexroth Bosch Academy juga merupakan Pusat Latihan termaju berasaskan terknologi IR 4.0.
Melaluinya, staf dan pelajar UMP mempunyai akses kepada Teknologi Bosch Rexroth.
Melalui program pensijilan yang ditawarkan oleh pusat ini, ia bakal meningkatkan kecemerlangan individu dalam menyediakan tenaga kerja IR 4.0 dan memperluaskan peluang ini bukan sahaja kepada komuniti UMP tetapi kepada seluruh negara.
Malahan melalui akademi ini juga, UMP berperanan memacu migrasi IR4.0 dalam kalangan industri terutamanya di pantai Timur Malaysia.
Turut sama hadir Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Ts. Dr. Mohd Rusllim Mohamed yang menjalankan fungsi Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Ts. Dr. Kamal Zuhairi Zamli dan Penolong Naib Canselor Bahagian Kolaborasi Industri dan Masyarakat UMP, Profesor Madya Ir. Dr. Nurul Hazlina Noordin.
Disediakan oleh: Mimi Rabita Haji Abdul Wahit, Bahagian Komunikasi Korporat, Jabatan Canseleri
- 145 views