Skip to main content

UMP jalin kerjasama antarabangsa dengan Istanbul Medipol University (IMU) dan Ankara Medipol University (AMU)

TURKI, 7 Julai 2022 - Jalinan kerjasama antara Universiti Malaysia Pahang (UMP) dengan Istanbul Medipol University (IMU) dan Ankara Medipol University ( AMU) bakal memperkukuh bidang akademik dan penyelidikan yang bakal membuka ruang ke arah peningkatan hubungan melibatkan kedua-dua institusi pendidikan tinggi dari Malaysia dan negara Turkiye.

Kerjasama ini memfokuskan kepada program mobiliti dan pertukaran pelajar, pelantikan profesor pelawat, penyelidikan, pengajaran dan kerjasama yang turut melibatkan kempen kesedaran berkaitan literasi media dan informasi UNESCO bersama komuniti di Ankara untuk dimanfaatkan semua pihak.

Naib Canselor UMP, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin hari ini bertukar dokumen Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Rektor Ankara Medipol University (AMU), Profesor Ahmet Zeki Sengil dengan disaksikan Perdana Menteri Malaysia, Dato' Sri Ismail Sabri Yaakob dalam majlis yang berlangsung di Ankara Turki. 
 
Turut sama hadir Penolong Naib Canselor Bahagian Kolaborasi Industri dan Masyarakat, Profesor Madya Ir. Dr. Nurul Hazlina Noordin dan Timbalan Rektor AMU, Profesor Dr. Nevin Sanlier. 

Menurut Profesor Dato’ Ts Dr Yuserrie, pembangunan modal insan menjadi keutamaan dan kerjasama ini juga akan memfokuskan penerbitan bersama, penganjuran seminar, program pertukaran staf dan pelajar. 

Program turut membabitkan kerjasama dual ijazah dan melibatkan  program mempromosikan bidang latihan pendidikan teknikal dan vokasional (TVET) dan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).  

“Dalam usaha ke arah kegemilangan universiti, UMP turut memfokuskan kecemerlangan terhadap pendidikan, penyelidikan dan perkhidmatan teknologi aras tinggi yang dipacu bersama komuniti,” katanya. 

Selain itu, kerjasama melibatkan komuniti ini seiring dengan hasrat Pro-Canselor UMP  selaku Penaung Diraja Sukarelawan UMP, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hasanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah dalam menyuburkan agenda kesurelawanan di peringkat nasional dan antarabangsa. 

UMP turut memfokuskan aspirasi bagi melahirkan graduan yang bukan sahaja berketerampilan malah berdaya saing dan sentiasa ke hadapan bukan sahaja dalam negara bahkan juga di peringkat antarabangsa.

Disediakan oleh: Mimi Rabita Abd Wahit, Bahagian Komunikasi Korporat,  Jabatan Canseleri

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Mimi Rabita binti Abd Wahit