UMP, MADACorp meterai kerjasama sokong pembangunan teknologi pertanian
PEKAN, 6 Jun 2023 – Universiti Malaysia Pahang (UMP) memperkasa usaha sama strategik bersama Syarikat Perniagaan Peladang Sdn. Bhd. (MADACorp) menerusi pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) bagi mempertingkatkan lagi teknologi pertanian dalam produktiviti padi dan beras.
Majlis menyaksikan Pengarah Kanan, Jabatan Penyelidikan dan Inovasi UMP, Profesor Dr. Mohd Hasbi Ab Rahim dan Pengurus Kanan MADACorp, Rahizal Rahim menandatangani MoU.
Turut hadir sama pada majlis itu ialah Pengarah Pusat Teknologi Industri Termaju (AIT) UMP, Dr. Nasrul Hadi Johari, para felo utama AIT dan anggota delegasi MADACorp.
Menurut Profesor Dr. Mohd Hasbi, kerjasama yang dijalinkan itu bakal memberi manfaat kepada kedua-dua institusi, malah lebih signifikan lagi dapat membantu MADACorp dalam meningkatkan kualiti serta produktiviti penghasilan benih padi sekali gus dapat membantu para petani dalam negara.
“Pihak universiti yakin projek ini bakal memberi manfaat yang besar kepada MADACorp dan juga UMP sendiri.
“UMP akan menyumbang kepakaran dalam bidang penyelidikan, konsultansi dan juga khidmat teknikal berkaitan teknologi pertanian yang untuk membantu menaik taraf pencapaian industri supaya lebih maju lagi selaras dengan Revolusi Industri 4.0,” katanya.
“Selain itu, pengembangan jaringan strategik ini juga adalah sejajar dengan slogan UMP iaitu ‘Teknologi untuk Masyarakat’ sebagai salah satu elemen yang diberikan perhatian secara khusus dalam Pelan Strategik UMP 2021-2025 berkaitan ‘Inovasi dengan Kolaborasi Industri’.
Tambahan pula, syarikat MADACorp adalah salah sebuah syarikat besar dalam industri padi dan beras negara dan bertanggungjawab secara langsung dalam konsep strategik ‘food security’ negara.
Kerjasama ini juga memastikan agenda keterjaminan makanan negara dapat dipertingkatkan lagi kualitinya.
Pada masa yang sama, beliau percaya kerjasama ini bukanlah semata-mata terbatas di dalam perkara yang dicatatkan dalam dokumen MoU itu sahaja, malah fleksibel kerangkanya bagi membolehkan UMP dan MADACorp meneroka pula prospek kolaborasi yang boleh dikembangkan pada masa hadapan.
Selain itu, delegasi MADACorp juga turut berkesempatan melawat dan meninjau fasiliti di sekitar Lab Magnetic, Makers Lab dan juga tapak solar panel bagi menyaksikan dengan lebih dekat beberapa hasil penyelidikan yang dijalankan di UMP berkenaan penyelidikan yang berkonsepkan ‘Sensors dan IoT’ dan juga ‘Smart Manufacturing’.
Disediakan Oleh: Nur Ainaa Adhreena Muhammad Shukri, Bahagian Komunikasi Korporat, Jabatan Canseleri
- 49 views